KUCHING: Penyertaan masyarakat dalam perancangan pembangunan bandar perlu diperkukuh bagi memastikan keperluan dan aspirasi setiap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, belia dan warga emas diberikan perhatian sewajarnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pembangunan bandar mampan bukan sekadar melibatkan pembinaan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi, tetapi turut merangkumi aspek kesejahteraan sosial serta peningkatan kualiti hidup rakyat.
Menurutnya, suara masyarakat perlu dijadikan asas dalam merangka dasar dan program pembangunan supaya setiap inisiatif dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan komuniti.
“Pembangunan sebenar ialah pembangunan yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat, memperluas peluang, memelihara kebajikan dan memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati hasil kemajuan secara adil dan saksama,” katanya.
Beliau berucap pada sesi bersama pemegang taruh Majlis Komuniti Kanak-Kanak, Majlis Komuniti Belia dan Majlis Komuniti Warga Emas anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), sempena Forum Bandar Sarawak 2.0, di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman menyambut baik penubuhan ketiga-tiga majlis komuniti itu oleh DBKU pada 2024 yang beliau sifatkan sebagai platform penting untuk membolehkan masyarakat pelbagai peringkat umur menyuarakan pandangan serta terlibat secara langsung dalam pembangunan bandar raya.
Katanya, majlis komuniti berkenaan berpotensi menjadi penghubung antara aspirasi rakyat dengan perancangan kerajaan khususnya dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan kesejahteraan masyarakat di peringkat akar umbi.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, keberkesanan majlis komuniti tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah mesyuarat atau program yang dilaksanakan semata-mata, sebaliknya berdasarkan sejauh mana pandangan masyarakat diambil kira dan isu yang dibangkitkan turut ditangani.
“Kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan terbina apabila mereka melihat bahawa suara mereka bukan sahaja didengari, malah diberikan perhatian dan disusuli dengan tindakan yang sewajarnya,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan DBKU mempertimbangkan mekanisme pemantauan cadangan komuniti bagi memastikan setiap isu direkodkan, dinilai dan disalurkan kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan lanjut.
Dr Abdul Rahman turut menekankan kepentingan kerjasama antara Kerajaan Sarawak, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan penduduk bagi memastikan pembangunan komuniti dilaksanakan secara bersepadu.
Menurutnya, pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) dan keseluruhan masyarakat (whole-of-society) perlu terus diperkukuh bagi menyelaraskan peranan semua pihak, mengoptimumkan sumber serta mengelakkan pertindihan program.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kemudahan bandar perlu dirancang dengan mengambil kira keperluan semua generasi, termasuk kanak-kanak, belia, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).
Katanya, penyertaan dalam inisiatif berkenaan perlu disusuli tindakan yang memberikan manfaat nyata kepada masyarakat, termasuk pembentukan komuniti yang lebih sihat, selamat, berdaya tahan dan prihatin.
Dalam konteks keperluan setiap generasi, tambahnya, kanak-kanak memerlukan persekitaran yang selamat untuk membesar dan mengembangkan potensi diri, manakala golongan belia perlu diberikan ruang untuk mengemukakan idea serta menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Suara kanak-kanak perlu didengari, potensi belia perlu diperkasa, manakala kebajikan dan martabat warga emas perlu dipelihara,” ujarnya.





