KUCHING: Kehebatan wartawan Suara Sarawak di Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2025 bukan sekadar pengiktirafan di pentas, sebaliknya menjadi bukti dedikasi mereka dalam terus mengukuhkan dominasi media ini dalam arena kewartawanan bermutu tinggi.
Pada KJA 2025, Suara Sarawak mengungguli sejumlah 26 anugerah, dengan 14 anugerah diperoleh menerusi dominasi kategori bahasa Melayu melibatkan lima emas, dua perak dan enam gangsa.

Manakala, 12 lagi anugerah diperoleh menerusi kategori bahasa Iban, termasuk empat emas dan empat perak.
Kejayaan tersebut membuka ruang kepada Suara Sarawak untuk menemu bual beberapa pemenang utama bagi menelusuri kisah di sebalik kejayaan, pengorbanan serta makna sebenar kemenangan yang diraih oleh para wartawan berkenaan.

Antara sorotan utama ialah kemenangan Anugerah Premier Sarawak kategori Bahasa Melayu yang membawa hadiah wang tunai RM5,000, dimenangi oleh Timbalan Ketua Wartawan Suara Sarawak, Zarina Abdullah menerusi karya Generasi Merdeka, Generasi Bebas Buli.
Zarina turut meraih anugerah emas bagi Anugerah Kewartawanan Rencana Berita melalui karya sama, selain memenangi perak dalam Anugerah Kewartawanan Kelestarian menerusi laporan Warisan Perahu Tambang Era Tenaga Hijau.

Beliau menzahirkan rasa syukur dan kegembiraan atas pencapaian tersebut, sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai sesuatu yang tidak dijangka namun amat bermakna setelah melalui perjalanan panjang dalam dunia kewartawanan.
“Bagi saya, kemenangan sebenar ialah apabila seorang wartawan mampu mengekalkan momentum penulisannya, bukan sekadar diukur dengan kekerapan naik ke pentas setiap tahun,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Sementara itu, wartawan Syamimi Husna Saji turut muncul sebagai antara penyumbang utama kejayaan Suara Sarawak apabila meraih dua anugerah emas menerusi Anugerah Laporan Berita bagi karya Perjalanan Menemui Kesedaran dan Anugerah Laporan Sukan melalui laporan Afif Darwysh Pikul Amanah Besar Negara.
Beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai detik yang amat membanggakan dan menjadi sumber motivasi untuk terus menghasilkan laporan berintegriti, tepat serta memberi impak positif kepada masyarakat.

Dalam pada itu, wartawan Kalsum Mohammadin mencatat tiga kemenangan menerusi Anugerah Kewartawanan Kelestarian, Anugerah Kesejahteraan Komuniti dan Pembangunan Luar Bandar serta Anugerah Kewartawanan Perniagaan dan Ekonomi.
Bagi kategori Bahasa Iban, Isabella Nisa Inchang menyerlah apabila meraih empat anugerah termasuk satu emas, satu perak dan dua gangsa menerusi beberapa karya yang mengangkat isu komuniti dan ekonomi setempat.

Kejayaan turut diraih oleh wartawan Lina Kunjak dan Sylvester Riang Anding yang masing-masing mencatat kemenangan dalam kategori perniagaan, ekonomi digital dan laporan berita.
Kemenangan demi kemenangan yang diraih oleh wartawan Suara Sarawak pada KJA 2025 membuktikan keupayaan warga medianya dalam mengangkat kewartawanan beretika, berintegriti serta berteraskan kepentingan masyarakat, sekali gus memperkukuh peranan Suara Sarawak sebagai medium yang terus relevan dan dipercayai.





