SIBU: Sub-Stesen 132kV Sungai Merah yang siap dibina pada Julai 2025 kini memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan menstabilkan bekalan elektrik di Sibu, selain meningkatkan keupayaan sistem bagi memenuhi permintaan tenaga pada masa hadapan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi, berkata sub-stesen milik Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) yang dibina dengan kos RM149 juta itu mula beroperasi pada Julai tahun lalu dan kini membekalkan suntikan tambahan bekalan elektrik kepada Sibu.

Katanya, kemudahan itu mengurangkan kebergantungan kepada Sub-Stesen 275kV Oya sebagai sumber utama bekalan elektrik, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan serta kestabilan sistem bekalan.
“Sub-stesen ini memberi suntikan tambahan bekalan elektrik kepada Sibu. Ia tidak lagi hanya bergantung kepada Sub-Stesen 275kV Oya sebagai sumber utama bekalan elektrik, sekali gus menjadikan bekalan elektrik di Sibu lebih kukuh dan stabil.
“Malah, ia berupaya memenuhi permintaan tambahan pada masa hadapan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Sub-Stesen 132kV Sungai Merah di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata sub-stesen itu menerima bekalan daripada talian penghantaran Kemantan 275kV yang diturunkan kepada voltan 132kV sebelum disalurkan ke rangkaian bekalan di Sungai Merah.
“Transformer di Sub-Stesen Sungai Merah berkapasiti 80 MVA dengan dua unit transformer beroperasi secara serentak, namun setiap transformer tidak beroperasi melebihi 40 MVA,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata talian penghantaran di Sungai Merah merupakan sebahagian daripada Coastal Grid yang bukan sahaja membekalkan elektrik ke Sibu, malah turut menyalurkan bekalan ke Tanjung Manis dan Daro.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SESCO merangkap Naib Presiden Kanan Sarawak Energy, Yusri Safri; Naib Presiden Bahagian Penghantaran Sarawak Energy, Raphael Chung; Pengarah Elektrik Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Mohd Randie Abdullah; serta jurutera dan pegawai kanan MUT dan Sarawak Energy.


