KUCHING: Persatuan Suara Konsumer Sarawak (Covas) mencadangkan Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan RM240 juta bermula 2021 untuk diagihkan kepada penunggang motosikal yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Timbalan Presidennya Datuk Shamsudin Abdul Rahman berkata, bantuan khas berkenaan membolehkan setiap penunggang motosikal yang berlesen diberikan RM300 setahun.
“Rasionalnya cadangan ini kerana dasar Kerajaan Persekutuan bagi subsidi minyak Ron95 tidak memberikan manfaat maksimum kepada pengguna motosikal berbanding pengguna kereta kerana menggunakan jumlah minyak yang sedikit setiap bulan.
“Selain itu, Kerajaan Sarawak bermula 2019 menerima royalti dan cukai jualan minyak berjumlah RM8 bilion setiap tahun, namun tidak memberikan manfaat secara terus kepada penunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, jumlah rakyat Sarawak berdaftar dengan JPJ untuk mendapatkan lesen motosikal sehingga 2020 seramai 800,000 orang.
“Kaedah bantuan ini juga dapat membantu kerajaan memastikan semua penunggang motosikal mendapatkan lesen JPJ yang sah.
“Sementara untuk agihan bantuan, ia boleh diuruskan oleh pihak tertentu sama ada menggunakan bayaran tunai atau baucar dan hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai lesen sah,” jelasnya.
Tambahnya, berdasarkan laporan penggunaan kenderaan setakat 3 Oktober 2017, sejumlah 729,227 motosikal berdaftar di Sarawak berbanding 813,569 kereta.
“Statistik ini menunjukkan masih ramai rakyat yang miskin terutama kumpulan B40 dan M40 di Sarawak.
“Justeru, mereka ini memerlukan perhatian dan pembelaan daripada pihak kerajaan,” ujarnya.
Beliau turut memohon kerajaan untuk menyediakan peruntukan melebarkan jalan serta membuang simen dan batu di jalan raya yang membahayakan pengguna motosikal dalam usaha mengurangkan kemalangan.