KUCHING: Penumpang bas di laluan Kuching-Serian bakal menyaksikan perubahan tambang susulan pelaksanaan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berperingkat (SBST) bermula April ini.
Dengan perubahan ini, subsidi tambang RM1 dihentikan dan digantikan dengan sistem tambang baharu di bawah jenama BAS.MY, yang dikendalikan oleh Biaramas Express Sdn Bhd.
Kementerian Pengangkutan Sarawak dalam kenyataan berkata, langkah ini sebahagian daripada usaha memperkasa sistem pengangkutan awam dengan pembiayaan daripada kerajaan persekutuan selama lima tahun.
Selain laluan Kuching-Serian, sembilan lagi laluan akan menyertai SBST secara berperingkat menjelang Mei 2025.
Antaranya termasuk Taman Malihah, Bako, SMK Matang Jaya, SMK Agama Matang 2, Kampung Benuk Homestay, SJK Chung Hua Batu Kawa, King Centre, Muara Tebas dan Terminal Bas Bau.
Dengan pelaksanaan SBST, pengguna tidak lagi menikmati tambang RM1 sehala, tetapi boleh melanggan pas MyBas50, yang menawarkan perjalanan tanpa had dengan hanya RM50 sebulan.
Lebih menarik, golongan pelajar, warga emas dan golongan OKU layak menikmati perjalanan percuma.
Bagi kawasan yang tidak termasuk dalam SBST, subsidi tambang rata RM1 masih diteruskan, memastikan kemudahan pengangkutan awam yang mampu milik terus dinikmati rakyat, khususnya golongan B40.
Kementerian Pengangkutan Sarawak menegaskan komitmennya dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam negeri ini, bukan sahaja untuk kemudahan rakyat tetapi juga bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.



