PERANCANGAN Pasukan Sarawak United FC II akan diputuskan sebelum 14 April ini sekiranya Liga M3 diteruskan atau dibatalkan.
Pengurus SUFC II, Syafiq Ikmal Fozi berkata, semua pasukan yang mengikuti Liga M3 masih menunggu arahan dan tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia.
“Setakat ini juga kita belum mengadakan perbincangan di antara pasukan dan pihak penaja serta belum menerima arahan daripada presiden.
“Kemungkinan sebelum 14 April ini kita sudah ada kata putus dari pihak pengurusan,” katanya semasa dihubungi oleh Suara Sarawak semalam.
Tambah beliau, antara topik yang akan dibincangkan oleh pasukan bersama pihak penaja dan pengurusan adalah perancangan hala tuju pasukan dan pemotongan gaji pemain.
“Perbincangan itu nanti juga akan tertumpu ke arah pelan pemotongan gaji pemain,” ujarnya. Penaja utama pasukan adalah Harini Sdn Bhd yang dibawah naungan Datuk Siva Kumar belum berbincang bersama pengurus pasukan mengenai hala tuju dan perancangan pasukan itu.
Pasukan itu bukan sahaja mewakili Sarawak dalam Liga M3 malah turut terpilih dalam merebut Piala FA setelah mengalahkan Red Spade FC 6-1 bagi aksi kelayakan.
Dalam aksi pertama Piala FA, SUFC II berjaya menundukkan Real Chukai 1-0 di laman sendiri. SUFC II juga kini menduduki tangga ke sembilan daripada sepuluh pasukan kumpulan B yang mengikuti Liga M3 yang masih belum memperoleh sebarang mata.
Pasukan itu kalah dalam aksi pertama Liga M3 kepada pasukan Melaka United 0-1 di laman sendiri. Manakala seri dua sama menentang PIB FC di tempat lawan.



