KUCHING: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Majlis Media Malaysia (MMM) menegaskan amalan media yang responsif terhadap gender serta menghormati hak asasi manusia penting dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan adil.
Menerusi kenyataan bersama, kedua-dua institusi itu memaklumkan media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk sikap masyarakat dan naratif awam, selain berperanan sama ada mengukuhkan atau mencabar stereotaip yang memudaratkan.
Menurut kenyataan itu, perbincangan antara SUHAKAM dan MMM turut membuka ruang untuk memperkukuh dialog dan kerjasama, khususnya dalam mencari titik pertemuan antara hak asasi manusia dan tadbir urus media.
Bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2026 yang disambut setiap 8 Mac, kedua-dua institusi turut menzahirkan komitmen untuk memperkasa kesaksamaan gender, memelihara maruah manusia serta memperkukuh amalan media yang beretika dan bertanggungjawab.
Pesuruhjaya SUHAKAM, Melissa Akhir berkata sambutan itu mengingatkan semua pihak tentang kepentingan mewujudkan persekitaran media yang mempromosikan kesaksamaan, keadilan dan rasa hormat.
Sementara itu, Ahli Lembaga MMM, Gayathry Venkiteswaran berkata pelaporan yang beretika, adil dan inklusif penting untuk membina kepercayaan awam serta memperkukuh wacana demokrasi.
Antara bidang kerjasama yang dikenal pasti termasuk pembangunan kapasiti, modul latihan serta usaha mempromosikan penulisan media yang peka terhadap gender dan kanak-kanak, selain menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab.





