MIRI: Festival Ekspo Umrah dan Pelancongan Islam Sarawak 2026 (SUITEX26) kembali buat kali kedua dengan pengisian lebih luas, merangkumi perkongsian ilmu, pameran industri, penerbitan serta kerjasama serantau.
Ekspo berkenaan turut menawarkan hadiah bernilai hampir RM100,000, termasuk diskaun pakej haji bernilai RM20,000, pakej umrah, percutian dan pelbagai tajaan.
Jika SUITEX25 menjadi langkah awal memperkenalkan ekspo berkenaan kepada masyarakat Sarawak, SUITEX26 menampilkan pengisian lebih pelbagai serta jaringan industri yang lebih luas.
SUITEX26 dianjurkan oleh Pertubuhan Agensi Umrah dan Haji Sarawak (SUHA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) yang diterajui oleh Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Pengerusi Pertubuhan Agensi Umrah dan Haji Sarawak (SUHA), Ruzaiman Ghazalee, berkata antara perkembangan penting pada penganjuran kali ini ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SUHA dengan Forum Kolaborasi Penyelenggara Perjalanan Ibadah Umrah (FKPPIU) Kalimantan Barat.

Menurutnya, kerjasama itu dibina berasaskan hubungan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua pihak dalam urusan umrah, lawatan dan perkongsian pengalaman.
Katanya, MoU berkenaan menyusun hubungan tersebut pada peringkat persatuan, meliputi pertukaran maklumat, latihan, pengurusan umrah dan pelancongan Islam, selain membuka peluang membangunkan pakej perjalanan antara Sarawak dengan Kalimantan Barat.
“Melalui MoU ini, kita mahu menyusun hubungan yang sudah ada dengan lebih baik, berkongsi pengalaman dan melihat bidang yang boleh diusahakan bersama untuk manfaat kedua-dua pihak.

“MoU disempurnakan oleh Ketua Forum Kolaborasi Penyelenggara Perjalanan Ibadah Umrah, Anwar Sayuti,” katanya dalam kenyataan media.
Dalam pada itu, katanya, pemilihan Miri sebagai lokasi penganjuran pula membawa SUITEX lebih dekat kepada masyarakat di utara Sarawak.
Katanya, kedudukan Miri yang berhampiran Brunei dan Sabah, selain mempunyai jaringan dengan Kalimantan Barat, membuka ruang lebih luas untuk kerjasama industri serta pembangunan pelancongan di Borneo.
SUITEX26 yang berlangsung di Boulevard Mall dari 28 hingga 30 Ogos ini turut menyaksikan pelancaran buku kedua terbitan SUHA, Pelaksanaan Solat Fardu dan Solat Sunat Harian, sebagai panduan mudah kepada jemaah ketika menunaikan umrah dan dalam amalan harian.
Antara aktiviti yang berlangsung ialah forum, ceramah, perkongsian ilmu, pameran agensi, pemeriksaan kesihatan serta aktiviti kekeluargaan.
Beliau berkata, dalam usaha melihat masa depan industri, kewujudan AirBorneo sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak turut membawa harapan baharu, khususnya dalam menyokong keperluan perjalanan masyarakat Islam di Sarawak dan membuka manfaat lebih luas kepada masyarakat Borneo.
Katanya, asas untuk pembangunan industri berkenaan sudah tersedia, termasuk agensi, pasaran, jaringan serantau, sektor pelancongan dan syarikat penerbangan milik Sarawak sendiri.
Cabaran seterusnya ialah menyelaraskan kekuatan berkenaan supaya dapat diurus secara lebih teratur dan memberikan manfaat kepada semua pihak.
SUHA berharap untuk terus melangkah ke hadapan dengan kesatuan yang kukuh, selain meletakkan keharmonian dan kemajuan industri sebagai kepentingan bersama.
“Dengan pendekatan yang menyantuni kepelbagaian bangsa, budaya dan daerah, Sarawak mempunyai ruang untuk terus berkembang dalam industri umrah dan pelancongan Islam, di samping membina jaringan Borneo yang lebih tersusun serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.





