ARTIKEL

Kredit: Bernama

Suka, duka sukan negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KEMENANGAN bersejarah skuad sepak takraw negara 2-1 ke atas musuh tradisi, Thailand dalam acara regu berpasukan Sukan SEA 2025, dianggap sebagai kejayaan penuh makna, menutup tabir sukan negara 2025, dengan senyuman.

Ia bukan sekadar meleraikan badi 34 tahun, tetapi lebih kepada maruah negara dalam acara sukan tradisi, yang menjadi penyebab ‘permusuhan tegar’ antara Malaysia dengan Thailand, sejak turun-temurun.

Ia bermakna, tiada lagi dominasi negara Gajah Putih yang sebelum ini sentiasa bangga dan ego dengan kelahiran tekong servis kuda serta pelibas hebat sejak sekian lama.

Sebaliknya, Malaysia kini sudah boleh berbangga dengan kelibat pemain sendiri, seperti Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam.

Mereka bukan sahaja menjuarai acara regu berpasukan sebagai regu utama, tetapi juga menjuarai acara regu, setelah menjinakkan Vietnam.

Sebagai antara sukan paling diminati, selain bola sepak, badminton, hoki dan olahraga (100 meter), sepak takraw turut mendapat sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan, yang menyalurkan peruntukan besar bagi pembangunan melalui pelbagai skim.

Ia termasuk Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti, masing-masing berjumlah RM9 juta pada 2023, RM8 juta pada 2024 dan RM6 juta tahun ini.

Penyaluran RM6 juta tahun ini melibatkan kerja menaik taraf Kompleks Sukan Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk dijadikan Akademi Sepak Takraw Malaysia. Hakikatnya pelaburan besar ini berbaloi.

Ia juga banyak dibantu penganjuran Liga Sepak Takraw atau lebih dikenali sebagai STL (Sepak Takraw League) sejak 2014.

Ini bermakna, kejayaan besar tidak datang bergolek, kerana ia menuntut jangka masa tertentu, sehingga 10 tahun atau lebih untuk berhasil.

Kesabaran dan konsisten dengan projek adalah kuncinya.

Realitinya kontinjen Malaysia bangkit pada Sukan SEA 2025 di Thailand, dengan mengumpul 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, bagi menamatkan kempen dengan keseluruhan 231 pingat.

Angka tersebut bukan sahaja melepasi sasaran 200 pingat, malah mencipta sejarah baharu sebagai kutipan pingat keseluruhan tertinggi pada Sukan SEA dianjurkan di luar Kuala Lumpur, mengatasi rekod 216 pingat pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Pencapaian 57 pingat emas di bumi Thailand merupakan yang terbaik bagi Malaysia dalam tempoh enam tahun, selepas mengutip 55 pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Ia petanda positif Malaysia dalam usaha muncul juara pada edisi 2027 yang akan berlangsung di Sarawak, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Sementara itu, di peringkat dunia, Malaysia turut melakar kejayaan besar, menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, melalui beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei setelah mengalahkan China (Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin) pada aksi final.

Sebelum mengecapi detik manis, beregu Malaysia ini mengalami episod turun naik.

Malah pernah berpisah pada Mac lalu ekoran tidak sehaluan.

Namun mereka kembali bersatu pada Jun lalu.

Tanpa menoleh ke belakang mereka terus mengorak langkah, dan akhirnya menjadi juara dunia.

Ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto menjelaskan bahawa komunikasi dan karakter seimbang menjadi faktor utama kejayaan.

“Aspek itu yang membezakan mereka dengan pasangan lain yang sekadar memiliki kemahiran di gelanggang.

Ramai pasangan lain ada kemahiran tetapi kalau komunikasi dan karakter tidak selari mereka tidak boleh jadi juara,” ujar Nova.

“Di Paris Tang Jie-Ee Wei tunjukkan ketenangan selain keyakinan dan komunikasi yang sangat baik, itu kunci sebenar kemenangan mereka,” katanya.

“Sebagai jurulatih kita kena sabar tetapi sebenarnya saya pun pernah marah juga, hampir setiap kejohanan ada saja masalah.

Bagaimanapun, ini memang tugas kita untuk beri semangat dan bimbing mereka,” jelas Nova lagi.

Yang pasti sudah tiba masanya beregu campuran negara ini lebih memilih kejohanan pada saingan tahun depan dalam usaha memastikan aksi lebih konsisten.

Ia perlu dilakukan kerana gandingan juara dunia itu akan fokus ke arah Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

Malaysia belum lagi meraih pingat emas Olimpik.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebelum ini hanya meraih dua pingat perak.

Manakala prestasi jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi agak sederhana walaupun dibimbing oleh jurulatih berkelas dunia dan berlatih di Universiti Auburn, Amerika Syarikat.

Azeem belum berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100 meter (m) lelaki kebangsaan miliknya sendiri iaitu 10.09 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, dengan hanya berjaya merekodkan masa terbaik 10.20s tahun ini.

Manakala jaguh 400m lelaki kebangsaan Umar Osman, 22, pada Kejohahan Dunia 2025 di Jepun, September lepas, sekadar menduduki tempat tercorot dalam saringan ketiga dengan catatan 46.43s, jauh daripada rekod kebangsaan miliknya 46.09s ketika Sukan Universiti Dunia 2023 di China.

Yang pasti, 2025 menjadi tahun ‘manis pahit’ bola sepak Malaysia.

Manis hanya sementara, dan pahitnya bakal berlanjutan hingga 2026.

Isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan benar-benar menggegar arena bola sepak negara.

Malah ia dilihat sebagai ‘tragedi’ bola sepak 2025.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bukan sahaja menerima hukuman daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), malah turut dipotong mata, sehingga terkeluar daripada kelompok ranking 120 terbaik dunia.

Sebelum ini Malaysia berada di ranking ke-116, namun kini ke-121. Ia susulan hukuman FIFA yang membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan dengan Cape Verde (seri 1-1), Singapura (Malaysia menang 2-1) dan Palestin (Malaysia menang 1-0) dengan Malaysia dianggap tewas 3-0.

FAM enggan mempertikai keputusan FIFA dan meletakkan fokus terhadap kes di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan bahawa mereka menghormati keputusan FIFA yang membatalkan keputusan perlawanan pada tiga aksi persahabatan kerana menurunkan pemain yang tidak layak.

“Itu kita boleh jangkakan kerana itu adalah undang-undang pertandingan yang diguna pakai kepada semua pasukan apabila menurunkan pemain yang tidak layak bertanding,” ujarnya.

Ada kemungkinan tiga keputusan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 akan dibatalkan, termasuk kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam.

Hakikatnya, suka duka sukan negara sepanjang 2025 akan menjadi detik penting.

Jadikan kejayaan sebagai inspirasi untuk terus melakar kejayaan yang lebih lagi, manakala kegagalan sebagai pengajaran untuk bangkit lebih baik tahun hadapan.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU