KUCHING: Penglibatan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027 disifatkan sebagai detik bersejarah yang bukan sahaja menyemarakkan semangat rakyat, malah dijangka memberi kesan sosial dan ekonomi yang meluas kepada negeri ini.
ADUN Tupong, Datuk Fazzruddin Abdul Rahman berkata, upacara penutupan Sukan SEA Thailand 2025 menjadi titik permulaan kepada momentum kemeriahan yang perlu diteruskan sehingga penganjuran temasya berprestij itu pada 2027, khususnya di Sarawak.
“Sebagai wakil rakyat di negeri ini, rasa bangga amat jelas apabila Sarawak diberi peranan menganjurkan antara sukan terbesar di rantau ASEAN, selain mengharapkan kejayaan penganjuran dan kecemerlangan atlet Malaysia khususnya anak Sarawak.
“Momentum kemeriahan daripada majlis penutupan Sukan SEA 2025 ini kita harapkan dapat dibawa pulang ke Kuching dan diteruskan sehingga penganjuran pada 2027 nanti. Ini juga menjadi pentas untuk memperkenalkan Sarawak ke seluruh Asia Tenggara,” katanya kepada pemberita pada majlis Big Screen SEA Games Thailand 2025 Closing Ceremony di Sarawak Sports Village, malam tadi.
Mengulas impak kepada komuniti setempat, Fazzruddin berkata penganjuran Sukan SEA dijangka memberi kesan limpahan ekonomi dan sosial yang menyeluruh, melibatkan pelbagai sektor termasuk industri makanan dan minuman, perhotelan, pengangkutan serta pemain industri kecil dan sederhana.
“Apabila penganjuran diadakan di sini, pelbagai industri akan terlibat secara langsung. Kesan ‘trickle-down’ ini akan dirasai oleh semua lapisan industri, daripada yang besar hinggalah yang kecil,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Azizul Annuar Adenan berkata, penyerahan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) kepada Malaysia menandakan bermulanya fasa kerja sebenar ke arah menjayakan Sukan SEA 2027 sebagai penganjuran terbaik dalam sejarah negara.
Menurut beliau, pengumuman Malaysia sebagai tuan rumah telah memberi suntikan semangat kepada atlet, terutama atlet kelahiran Sarawak, untuk berusaha mewakili negara dan bertanding di gelanggang sendiri.
“Selepas penyerahan bendera malam ini, bermulalah hari pertama kita untuk memastikan Sukan SEA 2027 menjadi satu temasya yang terbaik dalam sejarah.
“Saya percaya kerjasama antara Sarawak bersama Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang akan membolehkan kita menjayakan satu Sukan SEA yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Kontinjen negara menduduki tangga keempat dengan 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa, mengumpul 231 pingat secara keseluruhan pada temasya berkenaan. – TVS






