BANGKOK: Perenang negara Phee Jinq En menyifatkan kejayaan berkongsi pingat gangsa dalam acara 50 meter (m) kuak dada wanita sebagai satu detik ‘gila’, sekali gus menghadiahkan pingat pertama untuk skuad renang Malaysia pada Sukan SEA 2025 di sini, semalam.
Jinq En mencatat masa 31.71 saat (s) untuk menamatkan saingan di tempat ketiga bersama perenang tuan rumah Soovanee Boonamphai di kolam renang Sports Authority of Thailand.
Jinq En berkata pada awalnya beliau menyangka terlepas kedudukan podium dengan jurang tipis sebelum menyedari keputusan itu adalah seri.
“Saya hanya menyasarkan untuk mencuri tempat di podium kerana perenang Singapura dan Thailand sangat pantas.
“Apabila keputusan diumumkan, saya sangka saya di tempat keempat, kemudian saya semak semula dan mendapati ia seri. Ia memang ‘gila’,” katanya
Letitia Sim dari Singapura menggondol emas dengan catatan 31.03s manakala perenang Thailand Jenjira Srisa-Ard meraih perak dengan 31.52s.
Sementara itu, perenang Malaysia Isabelle Chiyi Buckley menamatkan saingan di tempat kelapan dalam acara sama dengan masa 33.81s.
Dalam acara 200m rampaian individu lelaki, Tan Khai Xin terlepas podium apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan masa 2:05.38.
Perenang Vietnam Tran Hung Nguyen memenangi emas dengan masa 2:02.11, diikuti wakil Filipina Gian Santos (2:03.88) dan Vietnam Nguyen Quang Thuan (2:04.19).
Perenang negara Arvin Singh dan Lim Yin Chuen masing-masing menamatkan saingan di tempat keenam dalam acara 100m gaya bebas lelaki dengan catatan sama, 50.40s.
Singapura menguasai acara itu menerusi Mikkel Lee (48.65s) dan Quah Zheng Wen (49.45s) manakala perenang Vietnam Tran Van Nguyen Quoc melengkapkan podium dengan pingat gangsa. — Bernama





