ARTIKEL

Sukan SEA Kemboja labuh tirai,Sukan SEA pada 2025 di Thailand

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

 
PHNOM PENH: Selepas atlet rantau ASEAN menempuh cabaran, pertandingan, drama dan emosi selama 11 hari, Sukan SEA Kemboja 2023 akhirnya ditutup secara rasminya dengan persembahan penuh berwarna warni dan bertenaga di Stadium Nasional Morodok Techo, di sini semalam.

Hujan lebat beberapa jam sebelum majlis bermula tidak menjejaskan kemeriahan pesta yang menampilkan persembahan cahaya, bunga api dan kebudayaan Kemboja.

Seramai 75,000 penonton membanjiri stadium untuk menyaksikan majlis penutupan temasya edisi ke-32 yang buat julung kali dianjurkan oleh negara itu.

Persembahan dimulakan dengan persembahan muzikal bertema ‘See You Again’ oleh barisan penyanyi tersohor negara itu dan penari tempatan diikuti dengan persembahan seni pertahanan diri yang menakjubkan dalam segmen ‘The Great Soul of Kun Bokator’.

Kun Bokator ialah seni pertahanan diri tradisional Khmer (Kemboja) sejak zaman purba yang melibatkan pelbagai gerakan tangan serta lutut dan disenaraikan sebagai salah satu acara sukan pertama kali diperkenalkan dalam sukan dwitahunan itu.

Perarakan masuk maskot, pegawai kontinjen, 1,000 atlet dan 2,000 sukarelawan yang bekerja tanpa jemu untuk memastikan kelancaran temasya sukan itu disambut dengan sorakan daripada penonton.

Penonton kemudian disajikan dengan tayangan video memaparkan sorotan aksi sepanjang temasya itu termasuk penampilan khas alet kebangsaan Kemboja, Bou Sammang, yang menuju ke tengah padang, diiringi tepukan gemuruh daripada penonton.

Walaupun menduduki tempat terakhir, Sammang menambat hati peminat sukan tempatan dan antarabangsa apabila beliau meneruskan lariannya dalam hujan semasa perlumbaan 5,000 meter wanita pada 8 Mei lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tea Banh, kemudian naik ke pentas untuk menyampaikan anugerah Atlet Terbaik Sukan SEA ke-32, kepada dua atlet wanita iaitu perenang Singapura, Ting Wen Quah dan wakil vovinam Kemboja, Pal Choraksmey atas pencapaian luar biasa di temasya kali ini.

Wen Quah merangkul enam pingat emas dan dua perak di kolam renang manakala Choraksmey memperoleh empat emas, satu perak dan satu gangsa.
 
Perdana Menteri, Hun Sen, kemudian menyampaikan ucapan dan secara rasmi mengisytiharkan penutupan temasya sukan yang bermula pada 5 Mei lalu.
Semasa obor temasya dipadamkan di Phnom Penh, bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan Sukan SEA ke-32 diturunkan dengan iringan lagu SEAGF yang dinyanyikan oleh 64 kanak-kanak.

Banh, mewakili Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) kemudian menyerahkan bendera Sukan SEA kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand (NOCT), Jeneral Prawit Wongsuwon selaku tuan rumah edisi akan datang pada 2025.

Ia disusuli dengan persembahan kebudayaan daripada wakil Thailand yang mengetengahkan budaya, jiwa dan identiti masyarakat negara Gajah Putih itu.

Thailand akan menganjurkan edisi ke-33 di tiga bandar utama di negara itu, Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Disember 2025.

Vietnam mempertahankan gelaran juara keseluruhan dengan mengumpul 136 pingat emas, 105 perak dan 118 gangsa, selepas mengumpul 205 emas, 70 perak dan 104 gangsa ketika menjadi tuan rumah edisi lepas di Hanoi pada 2021.

Kemboja mencatatkan prestasi terbaik sepanjang tempoh penyertaan mereka pada temasya sukan dwitahunan itu apabila mengakhiri saingan di tempat keempat selepas mengutip 81 emas, 74 perak dan 127 gangsa.

Malaysia mencatatkan pencapaian terburuk dalam sejarah temasya sukan itu dengan menduduki tempat ketujuh selain gagal mencapai sasaran 40 emas.

Malaysia hanya mampu mengumpul 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU