KUALA LUMPUR: Tersentuh dengan penderitaan ditanggung rakyat Palestin memberi kekuatan kepada pakar anestesia Dr Siti Sainira Saidin untuk ‘berkampung’ selama 30 hari dalam misi kemanusiaan MERCY Malaysia bagi membantu penduduk di zon konflik biarpun berdepan ancaman letupan bom.
Menjadi satu-satunya sukarelawan wanita dalam Pasukan Khidmat Khas 5 (SCT 5) Mercy Malaysia, beliau berkata letupan bom yang kedengaran hampir setiap malam sedikit pun tidak menggetarkan perasaannya malah mengakui ketika itu soal kematian bukan perkara pertama dalam fikirannya.
“Kami ditempatkan di Gaza City, Khan Younis dan utara Gaza. Hampir setiap malam kami dengar bunyi letupan bom, Alhamdulillah kami dapat melaksanakan tugas seperti ditetapkan dalam prosedur operasi standard MERCY Malaysia.
“Tak pernah sekali pun saya terfikir soal mati waktu di sana kerana bagi saya ajal dan maut itu ketentuan Allah SWT. Jadi, sebagai hamba-Nya saya cuma buat yang terbaik untuk sempurnakan misi 30 hari di sana,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MERCY Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, Ketua Operasi Global MERCY Malaysia yang juga Ketua Pasukan SCT 5 Shah Fiesal Hussain serta dua lagi anggota sukarelawan, Mohd Azizul Hakim Danial dan Nurfirdaus Ibrahim.



