SELANGOR: Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Haji Jili memberitahu pihaknya akan sentiasa memantau tahap kesihatan semua atlet Sarawak yang terlibat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor ketika ini.
Langkah tersebut diambil bagi mengelakkan ada dalam kalangan mereka yang terjejas ekoran musibah jerebu yang kini melanda tuan rumah kejohanan dwitahunan negara itu.
“Semalam, kita menerima makluman daripada Majlis Sukan Negara (MSN) agar semua pasukan bertanding dalam SUKMA 2026 sentiasa memantau tahap kesihatan atlet agar berada dalam keadaan baik.
“Dengan kata lain, memastikan mereka tidak ada yang terjejas kesihatannya disebabkan musibah jerebu yang kini turut berlaku di Selangor,” ujar Mu’azamir pada sidang media ringkas semasa menunggu ketibaan rombongan pertama kontinjen Sarawak di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) 1 sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pegawai semua pasukan yang terlibat kali ini supaya memastikan atlet mereka banyak minum air.
“Kita tahu masalah jerebu yang menyumbang kepada kepanasan suhu yang agak luar biasa. Justeru, saya nasihatkan kepada semua atlet agar perbanyakkan minum air,” tambah Mu’azamir.





