SELANGOR: Kem Judo Sarawak menutup saingan SUKMA XXII 2026 dengan satu pingat emas menerusi Leng Ko Jia, 17, dalam acara wanita bawah 70 kilogram (kg), petang tadi.
Leng menewaskan Tan Mei Xu dari Melaka menerusi keputusan Ippon pada perlawanan akhir untuk menghadiahkan emas tunggal buat kem Judo Sarawak.
Kejayaan itu turut menebus kekecewaan pada SUKMA 2024 apabila Leng sekadar meraih pingat perak.

Jurulatih Judo Sarawak, Anderson Anak Venus berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan Leng yang berjaya mengatasi tekanan dan menampilkan aksi cemerlang pada perlawanan akhir.
Menurutnya, Leng berdepan tentangan sengit sepanjang saingan namun berjaya mengekalkan fokus untuk meraih kemenangan.
Anderson berkata, Leng sememangnya menjadi antara sandaran utama pasukan untuk menyumbang pingat pada temasya kali ini.
Katanya, Sarawak turut meletakkan harapan kepada Carmen Lee Jia Wen untuk meraih pingat, namun kecederaan yang dialaminya menutup peluang tersebut.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Penolong Ketua Kontinjen Judo Sarawak, Haji Azizul Annuar Adenan.



