KUCHING: Presiden Persatuan Sukan Boules Negeri Sarawak, Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman memberitahu, barisan pemain yang terpilih mewakili Sarawak untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bagi sukan petanque kelak akan dibawa ke Thailand.
Kunjungan ke negara jiran berkenaan bagi tujuan menjalani latihan selain menyertai beberapa kejohanan sebagai pendedahan awal pemain dengan aksi lebih kompetitif.
“Selain berlatih, mereka juga akan menyertai kejohanan di sana kelak,” ujar Wan Abdillah kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, skuad kendalian Kant Pectchaboon dan Safirul Abdul Halim akan berada selama dua minggu di Thailand.
Menurut Wan Abdillah, pihaknya percaya pendekatan dilakukan dengan membawa pemain ke Thailand dilihat sebagai langkah yang amat tepat.
Tambah beliau, Thailand merupakan kuasa dunia bagi sukan petanque dan mempunyai ramai pemain handalan.
Justeru, peluang pemain skuad SUKMA beraksi dengan pemain handalan di sana secara tidak langsung dapat memperlihat kemampuan sebenar mereka.
Bukan itu sahaja, pada masa sama ia peluang terbaik bagi pemain meningkatkan mutu permainan mereka.
Persiapan skuad petanque bagi menghadapi kejohanan dwitahunan negara yang akan berlangsung di Selangor bermula dari 15 hingga 24 Ogos depan berjalan lancar.
Bagaimanapun, senarai pemain masih belum dimuktamadkan.
Setakat ini seramai 20 pemain masih dalam proses penilaian akhir.
Senarai muktamad 14 pemain (tujuh lelaki dan tujuh wanita) akan dapat diketahui pada Mac depan.


