KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) mengambil langkah lebih drastik dalam usaha memperkasakan prestasi petinju sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Kem kendalian Muhammad Helman Morni itu akan berlepas ke Thailand untuk menjalani latihan intensif selama tiga minggu.
Presiden SABA, Datuk Rahman Lariwoo menegaskan bahawa kesemua 11 petinju sedia ada akan berangkat ke negara tersebut pada Ahad ini (19 Julai) dan dijadualkan kembali semula ke Kuching pada 8 Ogos depan.
“Kami komited menggunakan masa yang ada untuk terus mempersiapkan petinju daripada segala aspek.
“Langkah drastik yang dilakukan SABA ketika ini adalah dengan membawa kesemua petinju ke Thailand untuk menjalani latihan intensif di sana selama tiga minggu. Ia merupakan persiapan terakhir kami untuk menghadapi temasya dwitahunan negara itu kelak,” ujar beliau pada sidang media di Pusat Latihan Tinju Sementara SABA hari ini.
Menurut Rahman, pihaknya berharap langkah berkenaan dapat memberikan pendedahan awal kepada mereka terhadap aksi yang lebih kompetitif.
Hal ini kerana katanya, sepanjang tempoh tersebut mereka akan berlatih bersama-sama petinju handalan Highland Boxing Gym, Bangkok, Thailand.
“Mereka akan berlatih dengan petinju di sana kelak dan pada masa yang sama akan mengadakan aksi persahabatan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Rahman mengakui bahawa misi pasukannya di Selangor nanti adalah untuk mempertahankan empat pingat emas yang dimenangi pada temasya lepas.
“Kami sesungguhnya berharap penampilan di Selangor nanti dapat menyaksikan pertambahan pungutan pingat emas.
“Saya percaya semua petinju sudah bersedia mengharungi gelora sebenar Sukma 2026,” jelas Rahman.
Beliau menambah bahawa skuad kali ini masih diperkuatkan oleh beberapa petinju berpengalaman yang juga merupakan penyumbang pingat dua tahun lepas.



