KUCHING: Kerajaan Sarawak telah membuat persiapan rapi berhubung prestasi atlet, termasuk memberikan sokongan dari segi ketahanan mental melalui motivasi dan penyediaan lengkap semua peralatan sukan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, berkata fokus kepada kesejahteraan atlet menjadi keutamaan bagi menjayakan misi merampas kembali gelaran juara pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA XXI) 2024.
“Kami mempunyai unit kaunseling dengan peranan mencakupi pelbagai aspek bagi menangani masalah berkaitan lebih awal.
“Pada SUKMA lepas, atlet bermain dengan baik, tetapi mereka mula gementar apabila melangkah ke suku akhir.
“Sebab itu, kami membawa pakar motivasi untuk menganjurkan pelbagai kem motivasi dan sesi nasihat untuk atlet terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program bual bicara ‘Juh Randau’ terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS semalam.
Awang Putrayusrie menyatakan bahawa SSC sedang mengkaji kemudahan sukan untuk memenuhi piawaian SUKMA dan akan segera menangani sebarang isu untuk memastikan kelancaran operasi.
“Sekiranya cuaca tidak mengizinkan atau sebarang masalah lain berlaku, kita akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan Pelan A berjalan lancar sebelum beralih kepada Pelan B,” katanya.






