KUCHING: Tiket masuk untuk majlis pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 pada Sabtu ini dihadkan atas faktor kapasiti dalam Stadium Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata tempat duduk bukan sahaja dikhasnya untuk pengunjung tetapi juga pihak lain yang terlibat dalam acara tersebut.
“Kita tidak dapat bagi semua tempat duduk kepada pengunjung kerana mereka yang membuat persembahan, atlet dan semua pihak lain yang terlibat juga memerlukannya.
“Dengan jumlah tempat duduk kira-kira 40,000 sahaja, selain sebahagiannya digunakan untuk kawasan pentas, maka ia tidak mencukupi untuk menempatkan lebih ramai lagi pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Konvensyen Innovative And Creative Circle (ICC) Peringkat Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Tahun 2024 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Karim menghargai sokongan masyarakat, khususnya di Kuching, yang sanggup berbaris untuk mendapatkan tiket berkenaan.
Justeru, beliau berkata bagi mereka yang terlepas untuk mendapatkan tiket itu boleh menyaksikan acara tersebut menerusi paparan hablur cecair (LCD) di ‘Celebration Square’.
Selain itu, mereka boleh menonton majlis pembukaan menerusi siaran secara langsung rasmi media yang terlibat, iaitu di TVS, Radio Televisyen Malaysia (RTM), dan di semua platform sosial media Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Bagi upacara perasmian temasya SUKMA 2024 pada 17 Ogos ini, tiket masuk tidak dijual.
Sebaliknya, ia diberikan secara percuma kepada orang awam yang terawal sahaja.
Pengedaran tiket yang bermula hari ini menyaksikan sambutan luar biasa daripada orang ramai, malah ada yang sanggup datang seawal jam 6 pagi di perkarangan Stadium Sarawak.
Tinjauan mendapati orang ramai beratur panjang sejak jam 7.30 pagi semata-mata untuk mendapatkan tiket tersebut yang juga merupakan tiket bagi cabutan bertuah.
Pengambilan tiket pula hanya bermula pada 10 pagi, dengan sebanyak 7,500 tiket diedarkan pada hari ini manakala sebanyak 7,500 tiket lagi diedarkan esok.
Sepuluh kaunter tiket dibuka dan orang ramai perlu melalui tiga stesen.
Stesen pertama memerlukan mereka beratur di luar stadium, diikuti dengan lokasi pra-pendaftaran dan stesen bagi pengambilan tiket.
Semasa pra-pendaftaran, penerima perlu mengimbas kod QR untuk mengisi maklumat seperti nama penuh, nombor pengenalan, dan nombor telefon.
Untuk pengambilan tiket, setiap individu hanya boleh menuntut maksimum empat tiket sahaja.


