KUCHING: Sarawak menetapkan sasaran untuk semua kemudahan dan fasiliti bagi penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma ke-21 disiapkan pada Jun.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketika ini semua persiapan berjalan lancar dengan semua fasiliti sedang dibaik pulih dan dalam pembinaan.
“Sehingga kini, semua persiapan kita berjalan dengan baik. Kerajaan Negeri mengenal pasti tempat yang terlibat sebagai lokasi penganjuran dan perkara ini sudah dibawa ke peringkat nasional.
“Ada antara fasiliti tersebut sedang dalam baik pulih dan terdapat juga yang dalam pembinaan seperti padang ragbi dan dewan wusyu. Sasaran kita adalah kesemua kemudahan ini siap pada Jun depan.” katanya.
Sementara bagi fasiliti velodrom yang dibina berhampiran Kompleks Stadium Sarawak, ujarnya ia tidak sempat untuk digunakan bagi kejohanan yang berlangsung pada tahun ini.
“Kemudahan velodrom bagi acara berbasikal trek, kita tidak sempat untuk dirikan tetapi akan menggunakan Jalan FAC sebagai lokasi acara seperti yang dilakukan pada 2016, di tempat yang sama,” jelasnya.
Dalam pada itu ketika ditanya ganjaran Kerajaan Sarawak terhadap barisan atlet yang berjaya memperoleh pingat kelak, beliau berkata ia memang ada disediakan.
“Kita tidak memberi penekanan yang tinggi dengan ganjaran tersebut kerana mahukan barisan atlet mempunyai semangat juang untuk menang, bukan hanya kerana duit,” tegasnya.
Beliau juga memberitahu kehadiran lebih 15,000 atlet dan pegawai dalam kedua-dua kejohanan tersebut pada bulan Ogos dan September depan sudah pasti akan merancakkan sosioekonomi negeri.
“Kita melaksanakan Sukma ini di sembilan bahagian seluruh negeri kerana mahukan limpahan ekonomi ini turut dinikmati masyarakat luar Kuching,” tegasnya.





