BINTULU: Ketua Jurulatih Muay Thai Sarawak, Muhammad Azan Mohd Nazri, yakin bahawa pasukan Sarawak mampu mencapai sasaran dua pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang akan membuka tirai perlawanannya pada 15 Ogos ini di Naim Paragon Bintulu.
Menurut Muhammad Azan, keyakinan ini didasarkan kepada prestasi semasa para atlet yang sangat memberangsangkan, terutamanya selepas mereka menjalani kem latihan intensif di Thailand dan Kelantan.
“Kami pada awalnya mensasarkan dua pingat emas, namun saya yakin Sarawak mampu meraih lebih daripada itu.
“Dalam tempoh dua bulan terakhir, atlet kami telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan di Thailand, termasuk memenangi tali pinggang di Texas dan stadium-stadium besar di sana,” katanya semasa ditemui media selepas Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming, bersama atlet Muay Thai Sarawak di Fairfield by Marriott Bintulu Paragon, malam tadi.
Beliau juga menambah bahawa penambahan kategori baharu seperti Waikaru dan Muay Boran di SUKMA kali ini dijangka akan memberikan peluang yang lebih besar untuk Sarawak menambah koleksi pingat emas mereka.
“Para atlet kini berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya dan fokus sepenuhnya untuk kejohanan ini,” tambah Muhammad Azan.
SUKMA 2024 akan menjadi platform utama bagi Sarawak untuk mempamerkan kebolehan dan kehebatan mereka dalam sukan Muay Thai, dengan harapan untuk menambah kejayaan dalam temasya sukan terbesar di negara ini.




