SELANGOR: Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Datuk Ismail Abang Saufi menegaskan, kejayaan pemain meraih pingat gangsa acara berpasukan wanita semalam satu penanda aras terbaik bagi pihaknya.
Beliau mengharap ia akan menjadi pencetus semangat pemain lain untuk cuba menghala fokus bagi pemburuan pingat seterusnya.
“Satu kejayaan yang amat membanggakan bagi kami.

Tahniah kepada pemain skuad wanita kerana berjaya meraih pingat gangsa.
“Walaupun berdepan tekanan pada awal saingan, tetapi mereka berjaya mengatasinya dengan mudah,” ujar Ismail kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau memuji ketahanan mental para pemain ketika berdepan cabaran tuan rumah pada perlawanan yang penuh mendebarkan semalam.
Dalam pada itu, Ismail mengingatkan pemain agar terus kekal fokus untuk perlawanan seterusnya.
“Pemain kita akan beraksi dalam beberapa kategori lain iaitu beregu dan kuadran.
“Diharap mereka dapat kekal fokus kerana kita percaya peluang untuk menambah pingat dari kedua-dua kategori tetap cerah.
“Yang penting mereka tidak mengambil mudah akan perlawanan yang bakal ditempuhi nanti,” menurut beliau.
Skuad sepak takraw wanita Sarawak berjaya meraih pingat gangsa kategori berpasukan semalam selepas menyingkirkan tuan rumah dengan kemenangan tipis (2-1).



