SELANGOR: Gandingan Elvis Priestly Clement dan Jared Aiden Harold mencipta kejutan apabila merangkul pingat emas acara terjun platform terbuka lelaki berirama pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di sini.
Pasangan itu mengumpul 330.51 mata selepas menyempurnakan enam terjunan untuk menewaskan Selangor yang meraih 305.28 mata bagi pingat perak.

Sabah melengkapkan podium dengan 288.78 mata untuk membawa pulang pingat gangsa.
Dalam pada itu, trio boling tenpin wanita Sarawak turut menyumbang pingat gangsa.
“Gembira dengan prestasi pemain kita yang berjaya meraih pingat gangsa petang tadi,” kata Pengurus Pasukan, Robert Lu Nam Min, kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau percaya kutipan pingat Sarawak akan terus bertambah memandangkan masih terdapat beberapa acara membabitkan atlet negeri itu yang berlangsung esok.



