SUNGAI NIL mengalir ke utara benua Afrika dan merupakan sungai terpanjang di Afrika.
Sungai Nil merentasi gurun memasuki Mesir melalui Sudan dan berakhir di delta yang memasuki Laut Mediterranean.
Kebanyakan penduduk Mesir mendiami kawasan tebing dan lembah sepanjang sungai Nil bermula dari Aswan merentasi Luxor dan Kaherah lalu berakhir di Kota Iskandariah.
Sungai Nil bermula dari dua cabang iaitu Sungai Nil Putih dari Rwanda Selatan dan Sungai Nil Biru dari Tasik Tana Habsyah (Ethiopia).
Berkenaan Sungai Nil ini dinukilkan kisah sewaktu peristiwa mikraj Nabi SAW.
Diceritakan daripada Anas Malik dari Malik Sha’sha’ah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda “…Dan aku diangkat menuju Sidratul Muntaha.
Di sana buahnya sebesar tempayan daerah Hajar dan daunnya sebesar telinga gajah.
Di dalam dasar Sidratul Muntaha bersumber empat sungai, dua sungai batin dan dua sungai zahir.
Aku bertanya kepada Jibril atasnya.
Jibril menjawab: Dua sungai batin ialah sungai syurga sedangkan dua sungai zahir ialah sungai Nil dan sungai Eufrat.” (maksud hadis riwayat Bukhari Muslim) Sewaktu kunjungan kali pertama ke Kaherah penulis diberitahu tentang kata-kata penyair Mesir, Ahmad Syauqi (1868-1932): “Siapa sahaja yang pernah minum air sungai Nil, pasti kembali lagi ke Mesir”.
PERNAH KERING
Dengan izin Allah nampaknya saya dapat bertandang lagi di bumi Mesir.
Antara pengalaman menarik kita di Kota Kaherah ialah menyelusuri sungai Mesir menggunakan kapal persiaran sambil menikmati makan malam.
Pemandangan indah cukup memukau mata kerana bangunan pencakar langitnya dihiasi pelbagai cahaya bergemerlapan.
Kita juga kerap melihat pesawat udara melintasi ruang angkasa dengan jarak yang begitu hampir.
Di sepanjang tebingan Sungai Nil, kita boleh berjalanjalan menikmati udara segar atau menaiki kereta kuda untuk melihat pemandangan indah.
Melihat aliran sungai Nil yang luas dan begitu panjang, penulis teringat suatu riwayat tentang kisah Syaiddina Umar Ibnu Khattab RA pernah menulis surat kepada Sungai Nil yang pernah kering akibat kemarau. Menyelusuri sungai Mesir menaiki kapal persiaran.
Penulis dan ahli rombongan di ats kapal persiaran menyelusuri Sungai Nil.
Isi kandungan surat itu antara lain berbunyi: “Dari hamba Allah, Amirul Mukminin kepada Nil, Mesir.
Segala puji buat Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW. Jika engkau mengalir kerana kehendakmu semata-mata, maka janganlah engkau mengalir lagi.
Tetapi jika Allah SWT yang mengalirkanmu, maka kami mohon kepada Allah agar mengalirkan kamu semula!”
Kisah ini mengingatkan kita berkat karamah Sayidina Umar Ibnu Khattab RA, penduduk Mesir sekitar Sungai Nil bukan sahaja terselamat daripada kemarau panjang, tetapi juga menamatkan amalan tradisi syirik kaum Qibti yang mengadakan upacara korban tahunan untuk menggelak kemarau.
PENUH SIRAH
Sungai Nil juga mengingatkan kita tentang kisah Nabi Musa AS yang pernah dihanyutkan oleh ibunya di dalam sebuah bakul yang akhirnya sampai ke istana Firaun.
Dalam al-Quran diceritakan: “Letakkanlah ia (Musa) di dalam peti, kemudian lemparkanlah ia ke Sungai (Nil), maka pasti sungai itu membawanya ke tepi, supaya diambil oleh (Firaun) musuh-Ku dan musuhnya.
Dan Aku melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang daripada-Ku; dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasan-Ku.” (maksud Thaha: 39) Ia menginsafkan kita tentang kehebatan perancangan Allah SWT, jauh mengatasi perancangan dan usaha Firaun yang mahu menghapuskan Nabi Musa sejak bayi.
Mudah-mudahan kunjungan kita ke Kota Kaherah dengan menyelusuri Sungai Nil ini menginsafkan kita sebagai hamba Allah yang kerdil, betapa agungnya kuasa Allah SWT.



