SEPERTI tempat lain, Daerah Kecil Roban juga mempunyai acara ikoniknya setiap tahun, iaitu Pesta Roban. Dalam kalangan masyarakat setempat, pesta itu turut popular dengan acara sukan air di Sungai Seblak, lokasi yang digeruni kerana sejarah buaya.
Bagi mereka yang mengikuti laporan berita serangan buaya ganas, Sungai Seblak tidak kurang hebatnya. Ketika itu, sungai masih menjadi pengangkutan utama dan aktiviti harian penduduk masih bergantung kepada sungai.
Ironinya, dari hari ke hari, pembangunan yang dibawa oleh kerajaan mengubah landskap dan cara hidup, sehingga mengurangkan kebergantungan terhadap sungai.
Mungkin masih ada penduduk yang menggunakan pengangkutan sungai, saya percaya semakin berkurang.
Masyarakat pun hidup lebih sejahtera. Apa tidaknya, Roban yang berkeluasan 327.8 kilometer persegi atau 126.6 batu persegi berada di bawah tiga kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Kabong, Krian dan Kalaka.
Maknanya dari segi tumpuan pembangunan, tiada masalah. Tiga Yang Berhormat (YB) bersama-sama membangunkan Roban.
Berbalik kepada Pesta Roban, edisi penganjuran tahun ini telah dijenamakan semula dan dikenali sebagai Festival Makanan Roban (RFF). Walaupun sebahagian pengisian dikekalkan daripada yang terdahulu, namun ada penambahbaikan dibuat.
Yang pasti tumpuan kepada acara di air, seperti menjadi kegilaan masyarakat. Tambahan sekarang musim regata.
Sehubungan itu, dengan semangat sukan air yang masih membara, sesuai penganjur yang diketuai Pejabat Daerah Kecil Roban memperkenalkan lumba perahu gaya Sambas. Ini penampilan baharu dan istimewa pada RFF tahun ini.
Buat julung kalinya, sepanjang dua hari ini berlangsung lumba perahu gaya Sambas. Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka Mohamad Duri berkata, RM5,000 hadiah wang tunai berserta piala menunggu Jaguh Lumba Perau Sungai Seblak bagi edisi 2024.
Lumba perahu gaya Sambas “Tahun ini kita buat pembaharuan dalam acara regata, yang hanya perahu Bidar 10 dipertandingkan.
“Format lumba perahu gaya Sambas yang diperkenalkan telah menetapkan pertandingan satu lawan satu.
“Ini pertama kali pertandingan seumpamanya diadakan di Sarawak, dalam sejarah sukan lumba perahu bidar. Namun, cukup popular di Sambas, Indonesia,” katanya.
Pagi semalam (Jumaat), beliau menyempurnakan majlis doa selamat. Jelasnya, pemilihan acara ini juga setelah mengambil kira keluasan sungai yang tidak terlalu besar.
Tarikan lain ialah perebutan gelaran Jaguh Tarik Tali Atas Air.
Tebingan Sungai Seblak sempena RFF bakal menjadi venue pelbagai acara selingan lain seperti pertandingan memancing, pansuh tiga serumpun dan acara karaoke serta pelbagai lagi.
Tahun ini juga penganjur menyediakan hadiah utama cabutan berupa motosikal.
Tahun lalu, pasukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Roban menyapu bersih dua acara kayuhan akhir yang dipertandingkan pada Jaguh Lumba Perau Sungai Seblak bersempena Pesta Roban 2023.
Mengungguli kategori Bidar 10, pasukan itu turut dinobatkan sebagai Raja Sungai Seblak 2023, sekali gus pulang dengan wang tunai RM3,000. Selain yang dinyatakan di atas, apa lagi tarikan utama RFF?
Pesta Roban sebelum ini terkenal dengan replika rumah panjang.
Tahun ini pun sama, masih dikekalkan. Seperti lumba perahu, program replika rumah panjang turut diberikan nafas serta sentuhan baharu agar ia terus menjadi ikon dan tarikan pelancongan di sini.
Replika rumah panjang masyarakat Iban itu antara keistimewaan yang diketengahkan sebagai tarikan utama.
Replika yang dibina secara gotong-royong merupakan rumah panjang tiga bilik, yang pasti ada keunikan tersendiri.
Setiap bilik disusun atur mengikut keaslian rumah panjang sebenar.
Justeru, pengunjung kelak berpeluang merasai suasana “duludulu” di rumah panjang masyarakat Iban.
Penganjur ingin menonjolkan semula keunikan rumah panjang termasuk adat, cara hidup yang semakin dilupakan.
Dengan harapan RFF bakal meninggalkan pengalaman berharga kepada pengunjung memandangkan replika rumah panjang tersebut dibina dengan konsep asli dan tradisional.
Untuk tidak sahaja mendengar dari telinga ke telinga, ayuh dua hari ini kita berkunjung ke Roban
Saya yakin, RFF tahun ini tidak mengecewakan kerana selain acara dinyatakan di atas, ada juga jualan makanan dan minuman serta produk kraf.
Aktiviti berjual telah bermula awal. Fokusnya tidak lain tidak bukan, memastikan penduduk dapat meningkatkan pendapatan melalui festival seumpama ini.



