Suntik pekerja asing, lindungi rakyat Sarawak

KUCHING: Semua pekerja asing di Sarawak akan diberikan suntikan vaksin Covid-19 sebagai langkah melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat negeri ini.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Sri Dr Sim Kui Hian, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meminta semua pekerja asing yang berada di negeri ini sama ada secara sah atau sebaliknya hendaklah menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Usaha diperluaskan kepada bukan rakyat Sarawak ini untuk mengurangkan risiko jangkitan,” katanya semalam.   Beliau mendedahkan, program vaksinasi Covid-19 negeri ini diletakkan pada tiga fasa dan bermula hujung Februari ini hingga Ogos nanti dengan sasaran lebih 2,019,413 rakyat Sarawak menerima vaksin percuma itu.

“Fasa pertama akan bermula hujung bulan ini hingga April melibatkan sejumlah 97,000 petugas barisan hadapan. “Sementara bermula Mac hingga Ogos iaitu fasa kedua, sejumlah 929,000 golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu mengalami masalah mobiditi akan menerima suntikan.

“Manakala fasa ketiga akan membabitkan sejumlah 992,000 golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas,” jelasnya sambil menambah setakat ini belum ada kajian saintifik membuktikan vaksin berkenaan selamat dan berkesan untuk kumpulan berumur di bawah 18 tahun.

Mengulas lanjut, katanya Kerajaan Sarawak perlu mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi bagi memastikan program berjalan lancar dan jumlah sasaran menerima suntikan mengikut rancangan menjelang Ogos ini.

“Justeru, kita memerlukan penerimaan, sokongan dan pemahaman masyarakat mengenai program ini bagi memastikan 70 peratus rakyat menerima vaksin pada penghujung Ogos nanti.

“Sehubungan itu, Sarawak akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan program imunisasi ini pada penghujung minggu hadapan. “Kita dimaklumkan vaksin Pfizer dijangka tiba dari kilang Belgium pada 25 Februari ini dengan pelancaran peringkat negeri pada 27 Februari di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini,” ujarnya.

Tambahnya, ia bagi memastikan proses dapat dipercepatkan dan mahu sebanyak boleh rakyat negeri ini divaksin untuk mengurangkan risiko jangkitan virus itu. Katanya lagi, rakan sekelas sekolah perubatan dan rakan sekerja beliau di Singapura juga berkongsi pengalaman positif dan memberangsangkan mengenai vaksin tersebut dan ia dijamin selamat.