MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kekal utuh memperjuangkan perpaduan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat sejak penubuhannya 66 tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, ulang tahun ke-66 itu bukan sekadar menandakan perjalanan sejarah, tetapi juga satu peringatan kepada perjuangan pemimpin terdahulu dan tanggungjawab generasi kini untuk meneruskannya.

“Sejak ditubuhkan pada 1959, SUPP sentiasa menjadi suara lantang memperjuangkan hak rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang semasa Majlis Pengibaran Bendera sempena ulang tahun ke-66 SUPP di sini, hari ini.
Katanya, bendera yang dikibarkan itu melambangkan komitmen bersama untuk membina Sarawak yang lebih kukuh, inklusif dan progresif.
Sejak penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 2018, SUPP bersama-sama rakan komponen lain seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) berjaya melakar pelbagai kejayaan besar.
“Antaranya pembangunan pelabuhan laut dalam di Bintulu, perancangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu dan sistem ART di Kuching,” katanya lagi.
Beliau berkata, SUPP juga menyokong penuh penubuhan syarikat penerbangan milik Sarawak, Air Borneo sebagai satu langkah berani memperkasa keupayaan negeri dalam sektor pengangkutan.
Dalam sektor ekonomi, katanya, pengambilalihan saham Bank Affin serta penubuhan Sarawak Sovereign Wealth Future Fund mencerminkan usaha serius kerajaan negeri dalam menjamin masa depan kewangan yang kukuh dan mampan.
“Langkah ini memberi jaminan kepada kestabilan kewangan Sarawak, sekali gus memperkuat asas ekonomi negeri,” ujarnya.
Mengulas kebajikan rakyat, beliau berkata bahawa pelbagai inisiatif diperkenalkan termasuk Kenyalang Gold Card (KGC), bantuan tunai RM1,200 untuk pelajar IPT serta baucar buku bernilai RM500.
Jelasnya, semua inisiatif yang dilaksanakan selari dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai sebuah wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030).
“Kita mahu rakyat bukan sahaja menikmati pembangunan, malah merasai kemakmuran secara menyeluruh dalam kehidupan harian mereka,” katanya.
Beliau yang juga Adun Senadin itu turut menyeru seluruh ahli SUPP dan rakyat Sarawak agar terus berganding bahu demi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam arus pembangunan negeri.


