ARTIKEL

Surau lonjak ekonomi komuniti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SURAU Darul Azim Taman Banjaran Serapi membuktikan peranan rumah ibadah tidak hanya tertumpu pada ibadat, tetapi turut meluas kepada aspek sosial melalui penganjuran program pembangunan ekonomi komuniti.

Program Pembangunan Ekonomi Ummah dilaksanakan dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif pembiayaan mikro iTEKAD yang diperkenalkan oleh Bank Islam, khusus bagi membantu golongan berpendapatan rendah serta asnaf memulakan usaha dalam bidang keusahawanan.

Menurut Pengerusi Surau Darul Azim, Istab Mohamad, program ini memberi peluang besar kepada asnaf dan mualaf untuk meningkatkan taraf hidup melalui latihan keusahawanan.

“Peserta terdiri daripada golongan asnaf dan mualaf.

Mereka mengikuti sesi tutorial dalam topik pemasaran dan pengurusan.

Bank Islam menyediakan latihan berpusat, manakala pihak surau menjadi tuan rumah untuk sesi bimbingan,” jelasnya.

Beliau berkata, program itu bukan sekadar mengajar kemahiran perniagaan, tetapi bertujuan lebih besar, iaitu membebaskan peserta daripada status asnaf serta melahirkan usahawan berjaya.

“Fokus kita supaya mereka ini berani berkongsi rezeki.

InsyaAllah, suatu hari nanti mereka juga mampu membayar zakat. Itu matlamat kita,” tambahnya.

Program yang berjalan selama enam bulan itu memberi penekanan kepada latihan praktikal berbanding teori.

Menurut Istab, peserta yang datang daripada pelbagai latar belakang pendidikan menunjukkan peningkatan ketara selepas dibimbing.

“Dalam tempoh enam bulan ini, secara keseluruhan, terdapat peningkatan dalam hasil jualan masing-masing.

Dari segi kerjasama dan sikap, mereka menunjukkan komitmen yang baik.

“Modul keusahawanan ini dilihat mempunyai keperluan jangka panjang,” ujarnya.

Istab, yang dilantik sebagai rakan strategik Bank Islam di Sarawak, berkata pemantauan dibuat setiap bulan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

Usahawan yang terpilih juga menerima geran permulaan berjumlah RM5,000 melalui program iTEKAD, selain peluang pembiayaan khas daripada Bank Islam yang akan diberikan pada fasa seterusnya.

“Daripada 30 peserta, saya menyenaraikan 15 orang yang layak ke tahap lebih tinggi.

Mereka menerima dana tambahan dan pembiayaan khusus.

Saya akan bersama mereka selama setahun lagi supaya prestasi dapat dipantau,” katanya.

Bank Islam, jelas beliau, menetapkan penanda aras pencapaian (KPI) iaitu sekurang-kurangnya 20 peratus peningkatan dalam tempoh program.

Namun, terdapat peserta yang menunjukkan pencapaian jauh lebih baik.

“Alhamdulillah, setakat hari ini, ada yang mencapai peningkatan sehingga 200 peratus.

Ada yang bermula dengan idea kecil, hanya produk asas, tetapi selepas kita perkemas, produk itu menjadi relevan untuk pasaran.

Malah ada yang sudah mampu bertahan dalam industri,” katanya penuh syukur.

Dengan pencapaian itu, Surau Darul Azim berhasrat menjadikan program ini sebagai platform berterusan, bukan sahaja untuk penduduk sekitar Kuching tetapi juga seluruh Sarawak.

“Harapan kita agar program ini diteruskan supaya lebih ramai usahawan berpeluang.

Ia juga membina komuniti yang lebih berdikari dan yang paling penting, membantu mereka keluar daripada kitaran kemiskinan,” kata Istab.

Program Pembangunan Ekonomi Ummah di Surau Darul Azim menjadi bukti bahawa pendekatan berasaskan komuniti mampu membawa impak besar.

Usaha ini bukan sekadar mengangkat martabat asnaf dan mualaf, malah memperlihatkan sinergi antara institusi agama, kewangan dengan masyarakat dalam membangunkan ekonomi ummah di Sarawak.

Bagi Nursyafi naz Jessiena Abdullah, 39, perjalanan hidupnya selepas berhijrah ke Sarawak pada 2017 tidak mudah.

Dahulu bekerja di UMW Toyota di Semenanjung, beliau dan suami nekad melepaskan jawatan demi menjaga bapa mentua yang diserang strok.

Keputusan itu membawa mereka pulang ke kampung dengan tangan kosong, tanpa pengalaman berniaga dan berbekalkan modal RM50.

“Waktu itu kami mula dengan karipap dan donat, pergi dari rumah ke rumah.

Kemudian kami menambah jualan nasi lemak berharga RM2.

Dari situ perlahanlahan orang kampung mula mengenali produk kami,” katanya.

Daripada jualan kecil, perniagaan mereka berkembang kepada katering dan seterusnya perniagaan bakeri.

Kini, di bawah nama Nufi za Bakery and Catering, pasangan itu mampu membekalkan roti dan kek ke 15 premis termasuk stesen minyak.

Namun, masih terdapat cabaran besar, iaitu peralatan kecil di rumah yang mengehadkan pengeluaran, walaupun permintaan jauh lebih tinggi.

“Kami sebenarnya boleh membekal kepada 40 premis, namun oven dan pengadun kecil tidak mencukupi.

Walaupun begitu, untung bersih sekitar RM3,000 sebulan,” jelasnya.

Bagi beliau, bimbingan daripada Jabatan Agama Islam dan Bank Islam membuka ruang untuk belajar pemasaran, kawalan modal serta penjenamaan produk.

Harapannya adalah untuk memiliki tapak pembuatan sendiri dengan kelengkapan lebih besar agar perniagaan dapat terus berkembang.

“Program sebegini banyak membantu golongan mualaf.

Saya harap sokongan berterusan supaya lebih ramai asnaf berani melangkah ke depan,” ujarnya.

Sementara itu, Adam Jame Taiyai, 50, berkata jalan hidupnya berubah selepas menamatkan perkhidmatan sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2017.

“Selepas bersara, saya memang terfi kir untuk menceburi bidang pertanian.

Saya memiliki tanah pusaka yang pernah ditanam dengan koko, lada hitam dan getah.

Namun, kos untuk membuka semula tanah yang telah menjadi hutan itu sangat tinggi.

Oleh itu, saya mencuba bidang lain,” jelasnya.

Bersama isteri yang juga bekas anggota TLDM, Adam akhirnya menemui rezeki baharu dalam bidang katering.

Tahun 2019 menjadi titik mula apabila beliau ditawarkan peluang membekal Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada murid Sekolah Rendah St. Elizabeth, Siburan.

Dari situ, tempahan katering kecil-kecilan mula diterima sama ada untuk majlis keluarga mahupun acara rasmi.

Kini, Adam memperoleh pendapatan sekitar RM15,000 sebulan hasil gabungan pembekalan RMT dan katering luar.

Namun, perjalanan itu tidak sunyi daripada cabaran.

Pada peringkat awal, pengurusan kos operasi dan pembayaran gaji pekerja sukar diseimbangkan, sehinggalah beliau mengikuti kursus bimbingan yang dianjurkan oleh JAIS dan Bank Islam.

“Dulu hasil jualan semua bercampur.

Sekarang saya sudah tahu mengasingkan untuk gaji, modal pusingan dan keuntungan.

Program sebegini membantu kami meningkatkan keyakinan dan produktiviti,” katanya.

Bagi Adam, perniagaan ini bukan sekadar sumber rezeki kedua selepas bersara, malah satu wadah untuk memberi manfaat. “Saya tidak mahu terlalu mengejar keuntungan.

Ada masa kita berkongsi rezeki. Tetapi alhamdulillah, perniagaan ini tetap kukuh,” katanya.

Isnina Rahman, 36, memulakan perniagaan dengan langkah kecil dan tekad kuat.

Sebelum ini bekerja di kedai makan, beliau terdorong untuk berniaga sendiri selepas mendapat sokongan keluarga dan bimbingan program usahawan JAIS bersama Bank Islam. “Dulu saya memang tiada pengalaman.

Rasa takut dan tidak yakin.

Namun, selepas mengikuti program bimbingan, saya belajar cara mengurus perniagaan, pemasaran dan pengurusan kos.

Pak Lang banyak mengajar saya ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini,” katanya.

Bermula dengan menjual makanan ringkas di rumah, Isnina kini menawarkan pelbagai menu popular seperti bakcang, tauhu fufa, mi kolok, mi sapi, mi kampua, mi ayam dan nasi ayam bakar. Katanya, sambutan pelanggan semakin menggalakkan.

Jika dahulu jualan sehari hanya satu kilogram mi, kini dalam seminggu beliau mampu menghabiskan sehingga 12 hingga 13 kilogram.

“Dulu sehari satu kilogram sahaja, sekarang tiga hari boleh sampai lima kilogram.

Kadang-kadang sampai enam kilogram.

Alhamdulillah, hujung minggu pun jualan boleh mencecah ribuan ringgit.

Memang tidak sangka boleh sampai tahap ini,” ujarnya gembira.

Hasil keuntungan digunakan semula untuk menaik taraf peralatan perniagaan.

Isnina kini sudah memiliki dapur tekanan tinggi, meja keluli tahan panas, serta peti sejuk berpenyejuk semuanya hasil bantuan kewangan daripada Bank Islam.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU