BINTULU: Program Showcase Usahawan Sarawak (SUS) terus membuktikan peranannya sebagai platform strategik dalam melonjakkan produk usahawan tempatan ke pasaran yang lebih luas termasuk peringkat antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kejayaan edisi terdahulu di Miri dan AEON Mall Tebrau City, Johor Bahru pada 2024 mendorong kesinambungan pelaksanaan SUS 2025 yang kini berlangsung di Times Square Megamall, Bintulu dari 26 hingga 29 Jun.
“Dua edisi tersebut berjaya menjana jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM17.7 juta melibatkan penyertaan 100 usahawan Sarawak. Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan,” katanya ketika merasmikan SUS @Bintulu 2025, pada Jumaat.
Menurut beliau, kejayaan SUS turut membuka pintu kepada syarikat tempatan untuk meneroka pasaran lebih besar.
Antaranya, Watiza Agrofarm Sdn. Bhd. dari Miri yang menghasilkan telur itik masin berjaya menjana potensi jualan bernilai RM1 juta melalui sesi padanan perniagaan (business matching).
Lebih membanggakan, Watiza Agrofarm turut dipilih sebagai satu-satunya wakil Sarawak memenangi geran perniagaan RM500,000 dalam pertandingan Rural Business Challenge (RBC) 2.0 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Januari lalu.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak(MINTRED) berkata, Kerajaan Sarawak terus komited memperluas pasaran produk tempatan ke rantau luar melalui penubuhan pejabat perwakilan seperti STATOS di Singapura, STATOB di Brunei serta pejabat baharu STATO di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia yang bakal diwujudkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri melalui kementeriannya menyediakan pelbagai skim bantuan keusahawanan berjumlah RM204 juta melibatkan lebih 41,800 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh Sarawak.
Antara program sokongan keusahawanan yang ditawarkan termasuk Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Go Digital, Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) dan Jum REGISTA Bisnes.
Majlis perasmian turut menyaksikan penyerahan bantuan keusahawanan berjumlah RM1.56 juta kepada usahawan Bintulu.
SUS@ Bintulu Bintulu menghimpunkan 40 usahawan dengan pelbagai produk termasuk makanan, kesihatan dan kraf tempatan.






