SIMANGGANG: Seorang penjawat awam menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman berhubung kes langgar lari pada awal pagi Ahad yang menyebabkan seorang maut dan seorang lagi cedera parah.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam berkata, polis telah membuat tangkapan suspek kes kemalangan langgar lari yang berlaku pada 8 Februari 2026.
“Suspek seorang lelaki merupakan penjawat awam berumur 49 tahun telah menyerah diri di IPD Sri Aman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, suspek ditahan bersama sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Pada awal pagi Ahad, sepasang suami isteri dirempuh oleh sebuah kenderaan dalam insiden langgar lari di KM-7 Jalan Sri Aman.
Mangsa baru selesai menukar tayar kenderaan yang pancit di bahu jalan.
Insiden menyebabkan pemandu Ranggau Berandak, 46, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sri Aman.
Sementara isterinya yang berusia 36 tahun mengalami kecederaan parah dan kini masih menerima rawatan di hospital sama.



