ARTIKEL

Mohd Shuhaily (tengah) bercakap pada sidang media berkenaan tangkapan suspek kes tembak KLIA di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Suspek kes tembak di KLIA cuba larikan diri ke luar negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA BHARU, Kelantan: Suspek lelaki, Hafizul Harawi, 38, yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi Ahad lepas dipercayai cuba meloloskan diri melalui sempadan negara sebelum ditahan di Kota Bharu semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ia berdasarkan rekod perjalanan suspek yang sering ke luar negara selain memiliki pasport serta sejumlah mata wang asing riyal dan baht.

Mohd Shuhaily menunjukan kenderaan yang dirampas ekoran tangkap suspek kes tembak KLIA di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini, beliau berkata polis juga sedang memperhalusi kaedah yang dipercayai diguna suspek untuk melarikan diri ke luar negara.

“Rekod perjalanan yang kita kaji sebelum ini memang suspek kerap ke luar negara seperti ke Arab Saudi dan Thailand sebelum masuk ke Malaysia.

“Ya, memang wujud usaha suspek untuk melarikan diri melalui sempadan negara dan kita masih mengumpul maklumat itu,” katanya.

Mengulas sama ada suspek ada membuat permohonan visa untuk ke luar negara, Mohd Shuhaily berkata perkara itu masih disiasat.

Mohd Shuhaily berkata siasatan awal mendapati suspek tiba di Kelantan pada 14 April lepas dengan menggunakan kereta sama, iaitu Honda Civic, namun menukar nombor plat pendaftaran kereta itu untuk mengelak pergerakannya daripada dikesan.

Menurutnya sebelum ditahan, lelaki tersebut menginap di sebuah hotel di Kota Bharu.

“Suspek memiliki empat kad pengenalan diri milik orang lain dan satu daripada kad pengenalan itu digunakan untuk membuat pendaftaran hotel,” katanya.

Beliau berkata suspek menggunakan kad pengenalan milik orang lain untuk mengelakkan dirinya daripada dikenali orang awam dan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Hasil intipan dilakukan, polis menahan lelaki itu berhampiran sebuah hospital swasta pada kira-kira 3 petang dan berlaku pergelutan,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata lelaki itu pergi ke hospital swasta berkenaan untuk mengambil laporan lengkap pemeriksaan kesihatan miliknya yang telah siap, sebelum ditahan.

Mengulas sama ada lelaki itu mempunyai rangkaian lain dalam kes tembak itu, Mohd Shuhaily berkata suspek bergerak secara bersendirian tanpa dibantu individu lain.

“Senjata api dimiliki suspek juga dipercayai diperoleh secara haram dari negara jiran, bagaimana kaedah suspek memperolehnya, kita akan siasat,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata pemeriksaan tahap kesihatan mental suspek didapati normal dan tindakan lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah isterinya dirancang oleh suspek sendiri.

“Selepas suspek melepaskan tembakan di KLIA, lelaki berkenaan tidak ke tempat lain atau tidak berjumpa dengan mana-mana individu untuk meminta bantuan, sebaliknya meneruskan perjalanan ke Kelantan,” katanya.
 
Beliau berkata, seminggu sebelum kejadian tembak itu, suspek baharu sahaja pulang dari Arab Saudi dan seterusnya ke Bangkok, Thailand dan masuk ke negara ini melalui Kelantan.

Sementara itu, polis turut merampas antaranya sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak mengandungi lapan butir peluru hidup di dalamnya, dan sekotak mengandungi 24 butir peluru hidup, sebuah kereta Honda Civic, enam telefon bimbit pelbagai jenama, sejumlah mata wang asing riyal dan baht dan pasport.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan suspek tersebut telah ditahan pada kira-kira 3 petang di satu lokasi di sini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Ahad lepas, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena pengawal peribadi isterinya.

Pengawal peribadi berkenaan sedang dirawat di sebuah hospital dan berada dalam keadaan stabil. — BERNAMA

BERITA LAIN

Hajat belum ternoktah

DUA kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan awal Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) pastinya bukan permulaan yang diharapkan Kuching City FC, namun perjalanan The

BERITA TERBARU

16 pasukan bertanding, Akademi SJN muncul juara

KUCHING: Akademi SJN dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 kategori Bawah 12 Tahun (B-12) selepas menewaskan Akademi Nexus 2-1 pada