Suspek utama kes bunuh ditangkap

KUCHING: Seorang lelaki dipercayai suspek utama kes bunuh di kawasan sebuah kedai berhampiran Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa Fasa Dua ditangkap sekitar jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, suspek berjaya dikesan hasil pemeriksaan pasukan rondaannya di sebuah rumah kediaman di Lorong 2C2 Taman Everbright Estate, Batu Kawa.

Menurutnya, suspek pada mulanya cuba menyembunyikan identiti daripada polis dengan mengenakan baju Melayu, namun tindakannya gagal.

“Hasil maklumat dan risikan awal, anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) kita berjaya mengesan kenderaan digunakan suspek diparkir di halaman sebuah rumah berhampiran kawasan Everbright Estate.

“Setelah menemu bual dua penghuni lelaki rumah berkenaan, pasukan polis mengenal pasti salah seorang daripadanya bernama Moses.

“Lelaki berusia 25 tahun itu merupakan suspek utama kejadian manakala seorang lagi dipercayai rakannya berusia 37 tahun,” jelasnya di sini, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua suspek seterusnya ditahan di lokap Siburan untuk siasatan lanjut.

Katanya, pihaknya merampas sebuah kenderaan jenis Viva, satu unit telefon bimbit, sepasang kasut dan topi di lokasi tangkapan.

Sementara itu dedahnya, suspek kini masih lagi disoal siasat bagi membantu mengesan senjata yang digunakan sebagai alat untuk membunuh mangsa dikenali sebagai Abang Hisalihin Bahthika, 37 tahun.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah Aidil, suspek akan dibicarakan di Mahkamah Kuching pada 19 Februari.

Terdahulu, mangsa ditemui terbaring dengan beberapa kesan tikaman pada badan oleh orang awam sekitar jam 3.48 pagi pada Ahad di lokasi kejadian.

Hasil bedah siasat pihak Hospital Umum Sarawak (HUS) mendapati si mati mempunyai luka selebar 2.5 sentimeter (cm) pada sebelah dada kiri belakang, dua luka di belakang bahagian atas rusuk kiri dan dua luka di bahagian bawah selebar 4.2 cm dan 2.1 cm.

Suara Sarawak