Swab meragukan tidak dianggap positif

KUCHING: Individu yang mendapat keputusan swab meragukan tidak akan dianggap sebagai pesakit positif Covid-19, kata Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hong.

Bagaimanapun katanya, individu berkenaan akan diletakkan di pusat kuarantin sementara Swab meragukan tidak dianggap positif menunggu pengesahan keputusan.

“Jika keputusan meragukan, kami tidak akan anggap sebagai positif.

“Biasanya, kami tetapkan keadaan individu itu untuk menentukan keputusannya,” katanya pada sidang media di Dun Lama Petra Jaya di sini, semalam.

Beliau berkata, demikian bagi mengulas isu individu mendapat keputusan meragukan walaupun sudah membuat pengambilan swab berulang kali.

Zhin Hong berkata, mereka yang menunggu keputusan di pusat kuarantin juga tidak akan dicampurkan dengan pesakit positif Covid-19.

“Mereka akan diasingkan sementara menunggu keputusan.

“Kalau positif, mereka akan dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berharap penduduk di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden, Kota Samarahan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan operasi Pengesanan Aktif Kes yang dijalankan di kawasan mereka ketika ini.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 657 rumah telah dilawati dan penghuninya telah diambil swab.

“Ini untuk kebaikan mereka kerana kita mahu mengesan mereka yang mempunyai simptom Covid19. “Adalah lebih bagus untuk awal dikesan dan dirawat kerana kalau terlambat, mereka yang positif boleh menjangkiti anggota keluarganya juga,” katanya.