S’wak, China kongsi strategi

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memerangi Covid-19 di negeri ini menerusi pemerhatian dan mempelajari secara dekat kaedah negara lain khususnya, China membendung wabak ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, China telah berjaya memerangi wabak Covid-19 melalui pelbagai strategi yang dilakukan.

Beliau mengakui adalah sesuatu yang istimewa apabila pakar dari negara luar datang ke negeri ini.

“Kami sangat berterima kasih kepada China kerana menghantar mereka ke sini. Kami di Malaysia mempunyai pasukan yang berdedikasi untuk menerajui perjuangan. Kami kini memang menempuh tempoh yang sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat lapan pakar perunding perubatan China di sini, semalam.

Douglas Uggah berharap pasukan tersebut dapat melakukan pemerhatian berdasarkan pengalaman mereka di China.

Beliau turut berharap pasukan pakar itu dapat memberikan analisis kritikal mengenai strategi dan pendekatan terbaik sama ada tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak tepat ataupun sebaliknya.

“Tetapi yang paling penting, kami berharap pasukan ini dapat berkongsi strategi dan pengalaman mereka dengan pasukan petugas kami,” ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut Kerajaan Sarawak turut menerima sumbangan yang disampaikan oleh ketua rombongan Dr. Li Jun diiringi oleh Konsul Jenderal China di Kuching Li Quan.

Sumbangan berupa 10,000 topeng muka N95, 10,000 topeng muka bedah, 10,000 topeng muka jururawat dan 2,500 pelindung muka googles.