PELAKON Sweet Qismina, 27, menepis dakwaan menjalani prosedur bariatrik atau pembedahan usus untuk menurunkan berat badan.
Sebaliknya, dia mengamalkan diet cecair seperti disarankan pakar nutrisi bagi merealisasikan watak Maya dalam filem Babah.
“Berat saya sebelum ini 53 kg dan saya perlu turunkan 10 kg dalam masa sebulan.
Saya hanya minum susu dan jika terlalu lapar, makan epal atau telur,” katanya.
Menurut Sweet, watak Maya, seorang pesakit Sindrom Guillain-Barré yang terlantar, menuntut perubahan fizikal dan emosi mendalam.
“Bukan hanya tubuh cengkung, tetapi filem ini memerlukan mainan emosi untuk menyerlahkan hubungan antara Maya dan bapanya,” tambahnya.
Filem Babah, yang menggandingkan Sweet dengan Qi Razali, Cristina Suzanne dan Adam Lee, mendapat sambutan hangat sejak tayangannya bermula pada 5 Disember.
Naskhah menyentuh hati penonton dengan tema kekeluargaan dan kasih sayang antara anak perempuan dengan bapanya yang OKU pendengaran.
Sweet juga meluahkan rasa syukur dengan penerimaan positif penonton.
“Alhamdulillah, pengorbanan saya berbaloi.
Kerjasama semua pelakon dan pasukan produksi menjadikan Babah naskhah yang dekat di hati ramai,” ujarnya. Kini mencatat kutipan RM6 juta, Babah turut menemui penonton di Singapura, Sabah dan Sarawak, membuktikan kehebatan filem ini melangkaui sempadan.



