ARTIKEL

INOVASI… Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, diiringi Datuk Amar Jaul Samion dan Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar, melihat hasil kreativiti pelajar yang menyertai pertandingan SMD Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Make-a-thon 2026 di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, hari ini.

Swinburne himpun bakat muda semikonduktor Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak menjadi medan penghimpunan bakat muda dengan menghimpunkan pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negeri dalam SMD Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Make-a-thon 2026.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion berkata, sepanjang tiga hari program itu berlangsung, kampus berkenaan bukan sekadar menjadi lokasi pertandingan, malah berperanan sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar yang memberi pendedahan kepada peserta tentang dunia reka bentuk cip semikonduktor.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan peserta mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di bilik darjah untuk menyelesaikan cabaran reka bentuk litar bersepadu mengikut piawaian industri, sekali gus memupuk kemahiran berfikir secara kritis, inovatif dan kolaboratif.

“Sebagai sebuah universiti, tiada yang lebih membanggakan daripada melihat dewan kami menjadi medan inovasi apabila para pelajar berganding bahu menyelesaikan cabaran reka bentuk cip yang kompleks,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program itu di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata, pelajar perlu diberi peluang menyelesaikan cabaran dunia sebenar melalui proses mencuba, berkolaborasi, belajar daripada kegagalan serta membangunkan penyelesaian yang memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata, semikonduktor kini menjadi teknologi teras yang memacu pelbagai sektor strategik seperti kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan ekonomi digital, sekali gus menjadikan pembangunan bakat tempatan sebagai satu keperluan penting.

Justeru, beliau berkata, kerjasama erat antara institusi pendidikan dan industri perlu terus diperkukuh bagi memastikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 dapat direalisasikan.

Mengulas mengenai prestasi peserta, Jaul berkata kreativiti, ketekunan dan daya tahan yang dipamerkan sepanjang pertandingan membuktikan anak-anak Sarawak memiliki potensi besar untuk bersaing dalam bidang teknologi tinggi tanpa mengira sama ada mereka berasal dari bandar atau luar bandar.

Beliau berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu menjadi titik permulaan untuk memupuk minat berterusan terhadap bidang semikonduktor dan inovasi, seterusnya melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mampu menerajui industri teknologi pada masa depan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Patrick Stewart Meninggal Dunia

Dunia seni lakonan antarabangsa kehilangan seorang legenda apabila pelakon tersohor Britain, Sir Patrick Stewart, meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya di Los Angeles,

Tiga lelaki ditan

MUKAH: Tiga lelaki peranak menua beumur entara 24 nyentuk 26 taun ditan pengudah ditemu positif dadah bansa methamphetamine ba Operasyen Begulai Nagang Penyah t i