KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak kini berada pada peringkat awal pembangunan reka bentuk konseptual bagi penubuhan Institut Penyelidikan Swinburne yang diilhamkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pusat penyelidikan bertaraf dunia itu bakal menjadi pemangkin kepada kecemerlangan penyelidikan di Sarawak, sejajar dengan visi untuk memperkukuh ekosistem inovasi negeri menerusi sains dan teknologi termaju.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, berkata projek tersebut kini berada pada fasa awal reka bentuk konseptual.
“Seperti yang disebut oleh Premier, penubuhan pusat penyelidikan ini merupakan visi beliau dan pada masa ini, kita masih berada di peringkat awal.
“Kita juga sedang menyiapkan reka bentuk konseptual projek tersebut dan tapak yang berpotensi telah dikenal pasti,” katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai pembangunan masa depan Swinburne Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-25 universiti itu di kampusnya di sini, hari ini.
Menurut Jaul, pusat penyelidikan yang dicadangkan itu akan menempatkan empat makmal utama — Makmal Transformasi Tenaga yang memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui, hijau, hidrogen dan biojisim; Makmal Pembuatan Termaju yang menumpukan bahan komposit serta sains bahan; Makmal Ujian Bahan untuk tujuan inovasi dan pengujian industri; serta Makmal Simulasi Digital Twin bagi menyokong teknologi IR4.0 dan konsep kilang masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-25 Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa (28 Oktober) lalu, menegaskan kerajaan negeri komited untuk merealisasikan pembinaan pusat penyelidikan berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak seluas 10 ekar bagi tujuan itu dan bersedia memperluaskannya kepada 15 ekar sekiranya diperlukan.
“Kerajaan negeri akan melabur untuk membangunkan pusat penyelidikan ini serta melengkapkannya dengan peralatan terkini bagi menganalisis bahan mentah yang kita hasilkan, dan menukarkannya kepada produk berkualiti tinggi menggunakan teknologi moden,” katanya.
Abang Johari berkata, Sarawak perlu terus maju dalam empat bidang utama — tenaga, semikonduktor, petrokimia dan sains bahan — yang menuntut kehadiran tenaga mahir generasi baharu.
Menurutnya, walaupun Sarawak kaya dengan sumber asli, negeri ini memerlukan keupayaan intelektual yang lebih kukuh bagi memproses sumber tersebut menjadi produk bernilai tinggi, dengan Swinburne memainkan peranan penting dalam membangunkan bakat bertaraf tinggi untuk tujuan itu.
“Usaha Sarawak menuju status negeri maju menjelang 2030, pembentukan generasi profesional baharu amat penting bagi memacu ekonomi digital, sektor tenaga boleh diperbaharui — khususnya teknologi hidrogen — serta inisiatif Industri 4.0.
“Kita memerlukan jurutera yang memahami sistem tradisional dan teknologi baharu, peniaga yang mampu meneroka pasaran global sambil memahami konteks tempatan, serta profesional IT yang boleh memacu transformasi digital,” ujarnya.



