KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) secara rasmi menganggotai rangkaian Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC) kebangsaan yang ke-27 menerusi penubuhan TISC di universiti berkenaan.
Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, Swinburne Sarawak sekali gus menyertai rangkaian pusat di seluruh negara yang diselaraskan oleh MyIPO di bawah rangka kerja Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO).
“Langkah ini seterusnya memberi kemudahan akses kepada pangkalan data paten global serta khidmat nasihat pengkomersialan harta intelek kepada komuniti akademik di Swinburne Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Swinburne Sarawak dengan MyIPO di universiti berkenaan, di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Pengarah MyIPO, manakala Swinburne Sarawak diwakili Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Profesor Lau Hieng Ho.
Kerjasama berkenaan turut menunjukkan komitmen MyIPO untuk terus memperluas jaringan sokongan inovasi tanah air menerusi jalinan kerjasama strategik bersama universiti tempatan.
Mengulas lanjut, Yusnieza Syarmila menambah bahawa penubuhan TISC di Swinburne Sarawak bukan sekadar berfungsi sebagai hab sumber maklumat.
“Tetapi, juga bertindak sebagai pemangkin bagi merapatkan jurang antara hasil penyelidikan akademik dengan keperluan pasaran komersial,” ringkasnya.
Menerusi platform ini jelasnya, para penyelidik dan pelajar kini berupaya menjalankan carian paten serta analisis kebolehdaftaran paten secara mendalam pada peringkat awal kajian.
Tambahnya, Swinburne Sarawak menduduki tangga kelapan bagi universiti swasta yang memfailkan paten tertinggi di MyIPO pada tahun 2025.
Manakala, sebanyak 38 permohonan telah difailkan bagi hak cipta bagi tempoh 2025 sehingga 2026.
“Ini bukan sahaja mengelakkan pertindihan penyelidikan, malah memaksimumkan nilai ekonomi sesuatu harta intelek yang dihasilkan,” katanya.



