KUCHING: Swinburne University of Technology Kampus Sarawak bakal memperkenalkan Diploma Siswazah Pendidikan sebagai laluan alternatif kepada pemegang ijazah pelbagai bidang yang berhasrat menceburi bidang perguruan melalui pendekatan yang lebih fleksibel, kreatif, dan berpandangan jauh.
Dekan Fakulti Perniagaan, Reka Bentuk dan Seni, Prof Brian Wong berkata, program pascasiswazah sepenuh masa selama setahun atau dua tahun secara sambilan itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan bilik darjah masa kini yang semakin kompleks, selain menyokong aspirasi pembangunan negeri melalui pendekatan pendidikan masa depan.
“Program ini diasaskan pada pemikiran reka bentuk dan menekankan kemahiran menyelesaikan masalah secara kreatif dalam setiap aspek pengajian.
“Kami melatih guru masa depan agar mampu berfikir secara kritis, bertindak secara reflektif, dan memimpin bilik darjah dengan pendekatan yang segar serta relevan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, program ini juga disokong oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) menerusi sesi libat urus bersama Ketua Bahagian Pendidikan Tinggi, Sharifah Fariah yang menyambut baik pelaksanaannya bagi memperkasa mutu pengajaran dan pembelajaran di Sarawak.
“Program ini menawarkan struktur pembelajaran secara berperingkat dalam empat penggal setahun dengan pengambilan pelajar pada bulan Mac, Mei, Ogos, dan Oktober.
“Pelajar boleh memilih untuk mengikuti pengajian secara sepenuh masa atau sambilan, sama ada secara bersemuka, dalam talian secara langsung, atau mengikut jadual fleksibel,” katanya lagi.
Antara komponen utama dalam program ini termasuk latihan praktikum bersama mentor berpengalaman di sekolah serta latihan praktikum mikro di kampus yang membolehkan pelajar berinteraksi dengan situasi pengajaran sebenar sejak awal pengajian.
Selain itu, amalan reflektif diterapkan melalui penulisan jurnal berstruktur sepanjang tempoh pengajian.
Pelajar turut berpeluang memilih bidang pengkhususan mengikut minat dan keperluan semasa seperti Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, atau Pentaksiran.
Graduan program ini berpeluang menceburi pelbagai bidang kerjaya termasuk guru sekolah rendah dan menengah, pembangunan kurikulum, reka bentuk pengajaran, perundingan pendidikan, penghasilan kandungan pembelajaran digital, serta sebagai pendidik guru atau pegawai sokongan pembelajaran.
Pengambilan pertama bagi program ini dijadualkan bermula Oktober 2025 dan permohonan kini dibuka kepada orang ramai.


