UMAT Islam di Malaysia dijangka menyambut kedatangan Ramadan pada 19 Februari ini, tertakluk pada keputusan cerapan anak bulan di seluruh negara yang akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Sinonim dengan bulan puasa, bazar Ramadan turut menjadi satu penantian bagi para peniaga.
Malah, terdapat peniaga yang hanya memberi tumpuan untuk mendapatkan tapak bazar Ramadan memandangkan ia terkenal sebagai lubuk rezeki.
Rata-rata penyedia tapak bazar Ramadan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menetapkan syarat yang sama bagi permohonan.
Pemohon diwajibkan untuk menyertakan sijil pengendalian makanan, saringan kesihatan dan sijil suntikan antitifoid.
Kegagalan memenuhi mana-mana syarat tersebut boleh menyebabkan permohonan ditolak dan pemohon tidak layak untuk berniaga di bazar Ramadan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan semua pengendali makanan menjalani Latihan Pengendali Makanan (LPM) di mana-mana institusi yang diiktiraf oleh KKM selaras dengan PeraturanPeraturan Kebersihan Makanan 2009.
Selain itu, Akta Makanan 1983 (Akta 281) memberikan kuasa kepada KKM untuk mengawasi keselamatan makanan serta memastikan pengendalian makanan di premis makanan mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan.
Seksyen 11 Akta Makanan 1983 turut memberi kuasa kepada pegawai penguat kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pengusaha makanan yang gagal mematuhi peraturan berkaitan pengendalian makanan.
Peraturan 15, PeraturanPeraturan Kebersihan Makanan pula mewajibkan pengusaha makanan memastikan pekerja yang terlibat dalam pengendalian makanan memiliki kad kesihatan yang sah.
Kad ini membuktikan pekerja tersebut telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan bebas daripada penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan keselamatan makanan.
DEMAM TIFOID
Suntikan antitifoid berkaitan dengan pencegahan demam tifoid, iaitu sejenis jangkitan bawaan makanan yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi.
Bakteria ini merebak melalui makanan dan minuman yang tercemar serta boleh didapati dalam darah, air kencing dan najis pesakit atau pembawa.
Jangkitan Salmonella typhi yang menyebabkan demam kepialu boleh mendatangkan mudarat serta membahayakan kesihatan pesakit.
Penyebaran demam kepialu berlaku terutamanya melalui pengambilan makanan dan minuman yang tercemar yang mengandungi bakteria Salmonella typhi.
Dalam konteks pengendalian makanan, bakteria ini boleh disebarkan melalui makanan dan minuman yang disediakan oleh pesakit atau pembawa tanpa gejala.
Selain itu, sekiranya makanan terdedah dan tercemar, lalat juga boleh bertindak sebagai pembawa bakteria Salmonella typhi.
Justeru, adalah penting bagi pengendali makanan untuk mendapatkan suntikan antitifoid serta memperbaharui suntikan tersebut apabila tempoh perlindungannya tamat bagi mengelakkan penularan penyakit bawaan makanan.
SIJIL PENGENDALI MAKANAN
Menurut perkongsian di laman rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tahap kebersihan premis makanan yang tidak memuaskan serta peningkatan laporan kes keracunan makanan telah mendorong KKM untuk mempertingkatkan latihan kepada pengendali makanan.
Usaha ini diperkukuh apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998, sekali gus menuntut imej negara di mata dunia dipelihara, khususnya dari aspek keselamatan dan kebersihan makanan.
Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab setiap penyedia makanan untuk memastikan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan sebelum layak menyediakan dan menjual makanan kepada orang awam.
Objektif Latihan Pengendali Makanan (LPM) adalah untuk memberi pendedahan serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penyediaan makanan yang bersih dan selamat kepada semua pengendali makanan dalam sektor perkhidmatan dan industri makanan.
Secara umumnya, latihan ini bertujuan mengurangkan risiko keracunan makanan yang berpunca daripada kecuaian atau kekurangan pengetahuan dalam pengendalian makanan.
Mendapatkan sijil LPM amat penting bagi peniaga dalam sektor makanan kerana sijil ini sah sepanjang hayat.
Namun begitu, kadar yuran latihan mungkin berbeza mengikut penyedia latihan.
Berdasarkan pengalaman sebelum ini, yuran LPM yang dikenakan adalah serendah RM50.
Melalui latihan ini, peniaga akan didedahkan kepada pengenalan LPM, kebersihan makanan, keselamatan makanan serta faktor-faktor yang menyebabkan keracunan makanan.
Secara ringkasnya, keracunan makanan boleh berlaku akibat pencemaran bakteria, bahan kimia, benda asing, tumbuhan beracun, hasil laut beracun serta alahan makanan.
Pengetahuan ini penting bagi memastikan setiap hidangan yang disediakan selamat dan sesuai untuk dimakan.
Justeru, konsep halalan tayyiban atau halal dan baik wajar dijadikan panduan.
Selain memastikan makanan tersebut halal untuk dimakan, aspek keselamatan, kualiti dan kebersihan juga perlu diberi keutamaan.
Di samping penyediaan bahan makanan, aspek pemakaian, penggunaan peralatan, persekitaran kerja serta kebersihan diri turut mempengaruhi kualiti hidangan.
Pengendali makanan tidak digalakkan menggunakan peralatan atau perkakasan yang rosak, pecah atau berkarat semasa memproses makanan, contohnya pisau.
Secara rasionalnya, pengendali makanan perlu menyediakan hidangan yang mereka sendiri sanggup untuk makan.
Jika sesuatu hidangan itu tidak sanggup dimakan oleh diri sendiri, apatah lagi untuk dihidangkan kepada orang lain.


