KUCHING: Syarikat penerbangan milik Sarawak dijangka mula beroperasi pada 2025, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, pada masa ini, proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh Kerajaan Negeri sedang berlangsung selepas dipersetujui secara prinsip oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Aviation Group.
“Nama syarikat penerbangan juga sudah ada, tapi kita tidak boleh umum dulu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching semalam.
Pada 23 November tahun lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, dilaporkan berkata Kerajaan Sarawak menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASwings Sdn Bhd sebagai persediaan untuk mengambil alih syarikat penerbangan tersebut. – BERNAMA





