KUCHING: Peningkatan skor Indeks Keharmonian Perusahaan (IHI) Sarawak kepada 81.5 peratus tahun ini, mencerminkan hubungan antara majikan dengan pekerja di negeri ini berada dalam tahap baik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata peningkatan skor daripada 79.3 peratus pada tahun 2022 itu menggambarkan landskap perhubungan perusahaan dan senario perburuhan di Sarawak yang semakin harmoni.
“Skor IHI Nasional dikeluarkan secara dwi tahunan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan diperoleh melalui penyertaan majikan dalam pelaksanaan Penilaian Kendiri Indeks Keharmonian Perusahaan (IHI SA), iaitu satu kaedah penilaian kendiri yang turut melibatkan pekerja dalam menilai tahap keharmonian di tempat kerja.
“Saya berharap lebih banyak syarikat di Sarawak akan menyertai IHA SA ini melalui platform Sistem Maklumat Perhubungan Perusahaan (IRIS) yang disediakan secara percuma oleh JPPM.
“Syarikat yang melaksanakannya dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan akan memperoleh Sijil Penarafan Syarikat Harmoni (SPSH) sebagai satu bentuk penjenamaan syarikat harmoni yang diyakini pelabur, pasaran kerja dan pesaing industri, seterusnya meningkatkan daya saing di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Keharmonian Perusahaan Sarawak Tahun 2025 di Hotel Waterfront, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai Program Keharmonian Perusahaan Sarawak 2025 tersebut, beliau menjelaskan bahawa ia merupakan inisiatif di bawah Pelan Tindakan Keharmonian Perusahaan Nasional (PETIK) dan kali ini membawa tema Kelestarian Keharmonian Perusahaan Melalui Pemerkasaan Perundangan.
“Program anjuran JPP Sarawak ini telah memasuki tahun keempat penganjurannya sejak diperkenalkan pada tahun 2022 dan setiap tahun program telah diadakan di zon berbeza iaitu di Kuching (2022), Bintulu dan Sibu (2023), serta Miri (2024) bagi memastikan penyampaian ilmu perhubungan perusahaan ini dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran di Sarawak secara lebih meluas.
“Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pihak berkepentingan mengenai pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, memupuk hubungan ‘tripartite’ yang kukuh, memperkasa daya saing industri melalui keharmonian di tempat kerja, serta mengetengahkan amalan terbaik ke arah membentuk budaya kerja yang kondusif dan mampan.
“Tahun ini, program ini dihadiri seramai 250 peserta yang terdiri daripada majikan, pekerja, kesatuan sekerja, penyedia latihan dan ahli akademik,” jelasnya.
Ujarnya, program tersebut turut buat julung kalinya memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat yang berjaya memperoleh Sijil Pelaksanaan PLWS 2024 setelah menyertai Program Bimbingan Peningkatan Produktiviti melalui ‘Productivity-Linked Wage System’ (PBPLWS), yang dilaksanakan oleh konsultan produktiviti lantikan JPPM.
“Saya menyeru syarikat yang berminat melaksanakan sistem upah pekerja berpaksikan produktiviti agar menyertai program bimbingan percuma ini kerana peningkatan produktiviti secara relatifnya akan meningkatkan keuntungan syarikat dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak dan negara,” tambahnya.
Dalam pada itu, dua syarikat dari Sarawak juga menerima pengiktirafan selepas berjaya terpilih ke peringkat akhir Anugerah Syarikat Harmoni 2025, daripada 102 penyertaan syarikat seluruh negara.
“Anugerah ini bertujuan menghargai syarikat yang mengamalkan pendekatan terbaik dalam mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan harmoni.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada TM Technology Services Sdn Bhd yang dinobatkan sebagai Johan bagi Kategori Syarikat Besar. Saya rasa amat berbangga di atas pencapaian ini dan merupakan satu pengiktirafan bagi Sarawak di peringkat nasional,” katanya.




