KUALA LUMPUR: Jelitawan Taanusiya Chetty, 26, berikrar memberikan sepenuh jiwa dalam usaha membawa pulang mahkota Miss World buat kali pertama ke Malaysia pada pertandingan edisi ke-73 di Vietnam.
Miss World Malaysia 2024/2025 itu berkata beliau mahu menguasai setiap segmen pertandingan yang berlangsung dari 8 Ogos hingga 5 Sept dan tidak sekadar menjadi pelengkap festival.
Taanusiya berkata persiapannya selama 19 bulan turut memberi tumpuan kepada agenda memperkasakan pendidikan dan advokasi kemanusiaan, selain menyedari setiap tindakan dan tutur katanya membawa imej Malaysia di pentas antarabangsa seperti dilapor Bernama.
Beliau yang berlatar belakang pendidik turut membuat persiapan bakat menerusi persembahan silat yang dipelajari selama sembilan bulan, selain mendapat sokongan pereka fesyen tempatan melalui kira-kira 100 busana rekaan eksklusif.
Taanusiya yang fasih berbahasa Melayu, Tamil, Mandarin dan Inggeris berkata perjuangannya mendapatkan mahkota itu bukan untuk diri sendiri semata-mata, sebaliknya mahu membuktikan kepada bekas anak muridnya bahawa tiada yang mustahil dalam memburu impian.






