ARTIKEL

Dr Safiee Ahmad

Tadbir Urus Penentu Kejayaan SPRB

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Aspek tadbir urus yang telus dan berintegriti perlu menjadi asas utama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak (SPRB), khususnya dalam memperkukuh keyakinan rakyat dengan institusi berkenaan.

ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, penubuhan mana-mana badan berkanun baharu tidak seharusnya tertumpu kepada pemberian kuasa dan mandat semata-mata, sebaliknya perlu disertai sistem akauntabiliti yang jelas dan berkesan.

Katanya, kuasa yang tidak diseimbangkan dengan mekanisme pemantauan dan pertanggungjawaban boleh menjejaskan kepercayaan rakyat dengan institusi awam, sekali gus menggagalkan matlamat asal penubuhannya.

“RUU SPRB sendiri mengakui pelaksanaannya bakal melibatkan implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan walaupun jumlah sebenar perbelanjaan masih belum dimuktamadkan ketika ini.

“Aspek pengurusan kewangan yang cekap dan telus mesti diberi perhatian sejak peringkat awal termasuk penyediaan anggaran tahunan yang teratur, audit berkala serta pemantauan prestasi melalui petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan boleh diukur,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sistem integriti dan pencegahan rasuah perlu diperkasakan bagi memastikan setiap fungsi dan tanggungjawab lembaga itu dilaksanakan dengan penuh amanah dan profesionalisme.

Dalam pada itu, beliau berkata pegawai yang diberi kuasa akan mempunyai bidang kuasa penguatkuasaan yang luas termasuk menjalankan siasatan serta mengakses data berkomputer.

Jelasnya, walaupun kuasa sedemikian penting untuk memastikan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, ia perlu dilaksanakan secara berhemah, profesional dan mematuhi prinsip ketelusan supaya tidak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Prosedur operasi standard (SOP), latihan berkaitan penguatkuasaan serta mekanisme aduan awam yang sistematik perlu diwujudkan bagi memastikan tindakan yang diambil mampu meningkatkan keyakinan rakyat dengan SPRB, sekali gus memperkukuh kredibiliti lembaga itu pada masa hadapan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU