Taekwondo, Sarikei pamer aksi cemerlang

SARIKEI: Pasukan Taekwondo Sarikei mencatat rekod cemerlang apabila mampu memberikan saingan sengit sekaligus membawa pulang pingat kejohanan Pertandingan Taekwondo Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan dan Jemputan Kebangsaan 2019, baru- baru ini.

Sarikei diwakili seramai dua orang murid masing-masing dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sarikei dan Abang Haji Matahir selain 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru.

Kejohanan yang berlangsung di Boulevard Mall itu, menyaksikan kemampuan Sarikei meraih tiga emas, dua perak dan 11 gangsa.

Malah lebih membanggakan apabila acara sparring lelaki dan wanita menyumbang pingat terbanyak iaitu 14 pingat iaitu tiga emas dan 11 gangsa

Mereka yang berjaya meraih emas ialah Fahrin Nazzri Hamdi, 14, Fatin Nabila Husnina Abdul Ghanie,14, Mohd Azrul, 16.

Atlet Sarikei yang menyertai Pertandingan Taekwondo Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan dan Jemputan Kebangsaan 2019.

Pada masa yang sama, Raja Nur Farah Amira, 9, dari SK Abang Haji Matahir menyumbang satu pingat perak bagi acara sparring wanita bagi kategori sekolah rendah.

Atlet lain yang beraksi cemerlang termasuklah Mohd Fikri Zahran Mohd Nazal,17, Muhammad Fadillah Lukman Abdullah,17, Nur Syafika Nabila Omar Salleh,17, Norshawalnizam Nazhan Hamdan,14, dan Awang Afif Hamdan,14.

Sehubungan itu, jurulatih pasukan, Mohd Aminullah Abu Johan menyifatkan pencapaian pasukannya sebagai satu kejayaan yang cukup membanggakan.

Malah katanya, kejayaan itu membuktikan betapa serius mereka membentuk sebuah pasukan yang mantap dan mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan lain.

“Secara tidak langsung kita membuktikan bahawa kejayaan sesebuah pasukan bergantung kepada iltizam selain kesungguhan pemain yang menterjemahkan kesungguhan melalui aksi cemerlang ketika beraksi di tengah gelanggang.

“Kejayaan pasukan ini juga menunjukkan seni mempertahankan diri semakin mendapat tempat dalam kalangan belia Sarikei,” katanya.

Beliau menambah, mereka akan menilai semula kekuatan dan kelemahan pasukan dalam usaha untuk melangkah lebih jauh dalam pertandingan itu pada masa akan datang.

Peserta menerima hadiah masing-masing

 

Peserta menerima hadiah masing-masing