KUCHING: Tahap sara diri (SSL) beras Sarawak yang masih rendah sekitar 20 hingga 25 peratus menjadi antara sebab utama penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan negeri ini terus bergantung kepada bekalan import.
ADUN Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, Sarawak ketika ini masih mengimport kira-kira 75 hingga 80 peratus keperluan beras dari luar negeri dan luar negara, sekali gus mendedahkan rakyat kepada risiko gangguan bekalan global.
“Sekiranya negara pengeksport bertindak mengehadkan bekalan atau harga global meningkat secara mendadak, golongan miskin dan penduduk luar bandar akan menerima kesan paling besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, simpanan stok beras kerajaan bagi Sarawak pula dianggarkan sekitar 33,000 tan metrik seperti dinyatakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 2024.
“Berdasarkan corak penggunaan semasa dan tahap sara diri yang rendah, kita boleh berdepan tekanan serius sekiranya import terganggu untuk tempoh yang panjang.
“Keadaan itu menunjukkan Sarawak perlu segera merancang projek pembangunan padi berskala besar, selain mewartakan lebih banyak kawasan penanaman padi di seluruh negeri,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan, lembaga tersebut perlu membantu petani secara langsung menerusi subsidi, benih berkualiti, baja, latihan dan khidmat pengembangan pertanian supaya golongan pekebun kecil tidak tercicir dalam arus pemodenan.
Ujarnya, selain fungsi pembangunan, beliau berkata lembaga tersebut juga perlu mempunyai kuasa kawal selia termasuk pengeluaran lesen kepada pengilang beras, pemborong, pengedar dan pengimport bagi memastikan rantaian bekalan lebih teratur serta mengelakkan aktiviti penyorokan dan manipulasi harga.
Dalam pada itu, beliau menegaskan lembaga berkenaan perlu diberikan kuasa kewangan dan komersial mencukupi termasuk memperoleh tanah, membina gudang dan kilang pemprosesan, melaksanakan projek pembangunan pertanian serta mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, beliau turut menekankan keperluan mekanisme pemantauan ketat bagi memastikan tidak menjadi birokrasi besar atau terdedah kepada salah guna kuasa.



