Tahun ketiga penjawat awam di Sarawak dapat durian runtuh

KUCHING: Ini tahun ketiga bagi penjawat awam Kerajaan Sarawak mendapat bonus sebulan setengah gaji manakala penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini pula mendapat insentif RM500, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, Kerajaan GPS memutuskan untuk memberi bayaran insentif khas bersamaan sebulan setengah gaji pokok atau minima RM2,000 kepada pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, dan akan dibayar sebelum penghujung tahun ini.

“Juga tidak ketinggalan kebajikan pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang telah menyumbang khidmat bakti mereka di Sarawak.

“Pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan ini akan di bayar insentif sekali sebanyak RM500 dalam suku pertama tahun depan,” katanya dalam ucapan penggulungan Perbahasan Belanjawan Sarawak sempena Persidangan DUN Ke-18 di sini semalam.

Tegasnya, ia adalah penghargaan yang diberikan kepada Kerajaan Sarawak kepada penjawat awam temasuk doktor, jururawat, anggota beruniform dan barisan hadapan yang tidak mengenal lelah dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka.

“Justeru, Kerajaan GPS amat menghargai sumbangan, pengorbanan dan komitmen pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dan pegawai-pegawai PerkhidmatanAwam Persekutuan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara profesional dalam keadaan yang mencabar ini,” tegasnya.

Mengenai Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) pula, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS memberitahu, hampir RM800 juta dibayar kepada 397,000 isi rumah dan 392,000 individu bujang B40 yang layak mendapat BKSS B40.

“Bantuan ini telah mengurangkan beban kewangan mereka dalam menghadapi kesusahan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Kerajaan GPS yang prihatin dengan masalah rakyat telah membuka ruang untuk mereka yang tercicir daripada bantuan ini untuk membuat rayuan.

“Berdasarkan rayuan yang diterima pada tarikh tutup 31 Mei 2020, seramai kira-kira 82,000 ketua isi rumah dan 40,000 individu bujang B40 memenuhi kriteria yang telah ditetapkan dan layak mendapat bantuan ini,” jelasnya.

Tambahnya, oleh yang demikian, beliau mengumumkan bayaran khas RM250 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada 82,000 ketua isi rumah B40 yang telah berjaya dalam rayuan.

Sebahagian pembayaran akan dibuat dalam tahun ini dan selebihnya pada tahun hadapan.

“Manakala 40,000 individu bujang B40 yang berjaya dalam rayuan akan dibayar sekali RM500 yang dibuat pada Disember 2020,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan kelulusan ini, secara keseluruhannya, Kerajaan GPS Sarawak membelanjakan sejumlah RM943 juta dengan RM800 juta telah dibayar melalui senarai LHDN manakala RM143 juta akan dibayar kepada 82,000 ketua isi rumah dan 40,000 individu bujang B40 yang tercicir tetapi layak menerima bantuan ini.

“Ini bermakna di bawah BKSS Kerajaan GPS membayar sejumlah RM943 juta kepada 479,000 Ketua Isi Rumah dan 432,000 individu bujang B40, iaitu 921,000 rakyat Sarawak, yang tertinggi bantuan dalam kalangan negeri–negeri dan kedua terbesar selepas bantuan Prihatin Nasional,” tegasnya.

Suara Sarawak