KUCHING: Ketibaan Tahun Naga diharap akan membawa lebih kemampanan ekonomi serta perpaduan dan kemakmuran kepada seluruh rakyat Sarawak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia penting supaya pihak kerajaan dapat memfokuskan kepada usaha pembangunan yang lebih lestari.
“Dalam Tahun Naga ini kita harap keadaan akan lebih makmur, ekonomi negeri lebih mampan dan masyarakat berbilang kaum serta agama akan sentiasa mengamalkan hidup bersatu padu.
“Ia amat penting kerana dengan adanya masyarakat yang bersatu padu ini, pihak kerajaan dapat menumpukan kegiatan kita kepada pembangunan yang lebih lestari untuk negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, serta barisan Kabinet Negeri yang lain.
Beliau dalam pada itu turut berharap agar ekonomi Sarawak akan terus meningkat agar usaha membela nasib rakyat di seluruh pelosok negeri dapat direalisasikan dengan jayanya.
“Doa saya ialah ekonomi dan keadaan masyarakat di bandar serta di luar bandar akan terus kita bela dengan kekuatan ekonomi yang ada pada negeri ini,” ujarnya ringkas.
Perayaan TBC adalah menandakan permulaan tahun baharu bagi kalendar masyarakat Cina. Setiap tahun, ia kan disebut dengan nama-nama haiwan iaitu 12 binatang zodiak Cina.
Setiap haiwan ini memberi makna dan tuahnya yang tersendiri. Bagi Naga pula, ia merupakan simbolik kepada kekuatan, kejayaan, keberuntungan, kekuatan semangat, kesihatan serta nasib yang baik.
Justeru, ketibaan Tahun Naga merupakan antara detik yang paling diraikan kerana mengikut ilmu warisan masyarakat Cina kuno, ‘feng shui’ tahun ini bakal membawa perubahan yang besar kepada masyarakat.



