TIDAK ramai yang sedar bahawa 19 November diisytiharkan sebagai Hari Tandas Sedunia sejak 2013 oleh Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB).
Tujuannya, bagi meningkatkan kesedaran global tentang kepentingan sanitasi yang selamat, akses kepada tandas yang bersih, dan pengurusan air kumbahan yang berkesan.
Adakah kesedaran tentang sanitasi dan penggunaan tandas yang betul sudah tinggi dalam kalangan rakyat kita?
Ingat, kemudahan tandas bukan sekadar keperluan asas, tetapi hak asasi manusia yang memberi kesan langsung kepada kesihatan, keselamatan, maruah, serta pembangunan sosioekonomi.
Melalui sambutan ini, orang ramai diingatkan bahawa masih terdapat berbilion orang di seluruh dunia yang tidak mempunyai akses kepada tandas yang selamat, menyebabkan penyebaran penyakit berjangkit, pencemaran sumber air, dan risiko keselamatan kepada wanita serta kanak-kanak.
Adakah kita sudah berpuas hati dengan keadaan dan kemudahan tandas awam di negara ini?
Adakah tabiat menggunakan tandas dalam rakyat negara kita dapat dibanggakan?
Atau masih ada yang bermentaliti kelas ketiga dalam penggunaan tandas?
Saya masih ingat ketika tinggal di kampung puluhan tahun lalu, para penduduk mendirikan tandas di sepanjang sungai?
Mereka melepaskan segala isi perut ke dalam sungai.
Bayangkan kesannya kepada sungai berkenaan?
Yang menghairankan, sungai itulah yang digunakan untuk mandi, membersihkan pinggan mangkuk, dan sebagainya.
Saya masih dapat membayangkan keadaan kampung dan sungai itu ketika kesedaran orang ramai masih lagi rendah tentang aspek kesihatan dan dan kemudahan tandas yang sempurna.
Syukur, kini penduduk kampung tidak lagi sewenangwenangnya melepaskan kotoran dari usus mereka ke dalam sungai.
Di bawah Kerajaan Madani difahamkan RM800 juta disalurkan untuk memupuk kesedaran sivik dan menerapkan budaya menjaga kebersihan selain sebagai persiapan menuju Kepengerusian ASEAN 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026.
Saya sangsi bahawa rakyat negara kita betul-betul sudah mempunyai kesedaran dan amalan sivik yang tinggi dan dapat dibanggakan sejauh yang berkaitan dengan penggunaan tandas yang betul.
Jika tidak percaya, kunjungi sahaja mana-mana tandas awam, termasuk di lebuh raya di negara kita.
Adakah tandas di lapangan terbang kita sudah layak untuk diberi taraf lima bintang?
Saya masih ingat janji menteri kita untuk menjadikan tandas di negara kita sesuai dengan konsep BMW, iaitu bersih, menawan dan wangi.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan bangga mengumumkan 10,000 tandas awam di negara ini berjaya dinaik taraf kepada BMW, hasil kerjasama pelbagai pihak, termasuk sekolah, hotel dan restoran.
Pengalaman saya mengunjungi tandas awam, tidaklah begitu menggembirakan.
Masih ada yang berbau dan kotor. Maksudnya, masih ada pengguna yang bermentaliti kelas tiga dan dunia ketiga.
Bayangkan, sudah berpendidikan pun masih tidak faham dan tahu menggunakan tandas.
Bukan tidak ada yang ‘menembak’ pada sasaran yang salah.
Masih ada yang membuang pelbagai sisa dan yang tidak kisah akan keperluan pengguna selepas itu dengan membiarkan kotoran tanpa mempedulikan untuk mengepam air selepas menggunakannya.
Bukan tidak ada pintu tandas yang tidak boleh dikunci, kepala paip hilang, dan sebagainya.
Semua ini menggambarkan imej dan reputasi buruk tentang rakyat negara ini.
Ya, takkan menggunakan tandas pun tidak tahu. Kita hairan, bagaimana pula sikap mereka ini ketika menggunakan tandas di rumah sendiri? Adakah mereka melakukan perkara yang sama? Cubalah malu sikit!
Jangan fikir, kerana anda membayar beberapa sen untuk tandas berbayar, maka anda fikir, bukan tugas anda untuk memastikan tandas sentiasa dalam keadaan bersih.
Jangan fikir, menjadi tugas tukang cuci tandas untuk membersihkan tandas.
Sikap jelek dan mentaliti kelas rendah anda itu, perlu dibetulkan terlebih dahulu jika mahu tandas di negara kita ini, betul-betul bersih dan dapat dibanggakan.
Jangan hanya pandai hendak menggunakan tandas yang bersih, tetapi tidak pandai menggunakannya dan menjaganya.
Tidak malukah dengan pelawat dan pelancong?
Sebanyak 5,241 tandas awam atau 20 peratus daripada 26,081 tandas awam di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) berstatus dua bintang dan ke bawah iaitu kurang bersih dan kotor pada 2022.
Adakah kita patut bangga atau sepatutnya kita malu dengan perangai buruk kita?
Setelah mengunjungi beberapa negara luar, saya amat kagum dengan keadaan tandas di Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Singapura, dan Switzerland.
Tandas Jepun dilengkapi dengan semburan air yang boleh dilaras tekanan dan suhunya.
Fungsi ini lebih bersih berbanding penggunaan tisu, dan ramai pelancong mendapati ia jauh lebih selesa serta lebih mesra alam.
Pengguna boleh membuka dan menutup penutup tandas, mengepam air, dan mengaktifkan beberapa ciri hanya dengan melambaikan tangan.
Ciri ini membantu mencegah penyebaran bakteria dan menjadikan pengalaman itu lebih bersih. Banyak tandas Jepun menyediakan fungsi memainkan bunyi air untuk menutup bunyi yang dianggap memalukan oleh pengguna. Ini menunjukkan betapa sensitifnya masyarakat Jepun terhadap keselesaan dan privasi.
Alat penapis udara berfungsi secara automatik untuk menghilangkan bau tidak menyenangkan, menjadikan tandas sentiasa segar.
Kebersihan tandas Jepun bukan sekadar bergantung pada teknologi, tetapi pada piawaian kebersihan yang ketat. Di sebalik semua kelebihan itu, terdapat sistem sosial dan pendidikan yang membentuk tabiat menggunakan tandas dengan betul.
Setelah kerap ke Jepun dan membaca buku tentang Jepun, saya dapati mereka diajar bahawa kemudahan awam adalah milik masyarakat dan mesti digunakan dengan penuh rasa hormat.
Hal ini menjadikan Jepun bukan sekadar negara dengan tandas moden, tetapi negara yang berjaya menggabungkan nilai budaya, teknologi, dan pendidikan untuk menghasilkan standard kebersihan yang sangat tinggi.
Keluarga di Jepun mendidik anakanak tentang cara menggunakan tandas dengan betul.
Mereka diajar membersihkan tandas selepas digunakan, membuang sampah dengan betul.
Saya ingat betapa sukarnya saya hendak mendidik dan memastikan tandas sekolah yang saya menjadi pengetua, sentiasa bersih dan tidak berbau suatu ketika dahulu.
Mengapakah kita begitu sukar menyemai nilai betul dalam kalangan pelajar kita tentang penggunaan tandas?
Adakah cara atau kaedah kita salah dan tidak sesuai?
Walaupun budaya memainkan peranan besar, Jepun juga mempunyai peraturan yang ketat dalam menguruskan kebersihan awam.
Pengusaha bangunan, restoran, dan stesen diwajibkan memastikan tandas mereka sentiasa bersih.
Jika tidak, mereka boleh dikenakan denda atau teguran.
Berapa banyakkah pemilik tandas yang kotor di negara ini didenda pada tahun ini?
Tidakkah kita dapat mencontohi Jepun dari segi menerapkan amalan kebersihan dan menggunakan tandas dengan betul?
Jika sebahagian besar rakyat negara kita masih belum sedar bahawa wujudnya Hari Tandas Dunia, bagaimana kita hendak mengharapkan mereka mempunyai kesedaran tinggi tentang hal ehwal tandas?
Kita mengharapkan keadaan tandas kita sentiasa kering, kemas, bersih dan wangi.
Ya, lebih-lebih lagi kita akan menyambut Tahun Melawat Malaysia pada tahun depan.
Jagalah nama baik negara, dengan turut menjaga kebersihan tandas.
Janganlah rosakkan imej dan reputasi negara dengan sikap dan perangai buruk anda itu!
• Dato Dr Jeniri Amir ialah pengembara yang suka meneliti bagaimana keadaan tandas di sesebuah negara, dari lapangan terbang ke hotel.



