KUCHING: Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 berlangsung di Stadium Tertutup Kota Samarahan bermula dari 18 hingga 22 Jun ini.
Kejohanan tersebut menyaksikan 10 bahagian yang berentap untuk memburu gelaran juara pada edisi kali ini.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Datuk Ismail Abang Saufi menegaskan, bahagian yang terlibat ialah Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Menurut beliau, empat kategori dipertandingkan iaitu berpasukan lelaki (tiga regu), regu lelaki, regu belia lelaki dan regu wanita.
“Kota Samarahan diberi mendat untuk menjadi tuan rumah penganjuran Piala Sarawak 2025 pada tarikh tersebut.
“Kita menjangkakan saingan sengit berlaku kerana kesemu 10 bahagian terlibat menyenaraikan ramai pemain berpengalaman dan bakat baharu,” ujar Ismail pada sidang media di pejabat beliau sebentar tadi
Hadir sama Timbalan Presiden PSS, Nizam Haji Wang yang juga Pengerusi Kejohanan serta barisan Exco PSS yang lain.
Beliau menambah, kejohanan kali ini yang menyediakan hadiah wang tunai lebih RM20,000, membabitkan pemenang kelompok tiga terbaik untuk setiap kategori dipertandingkan.
Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 dianjur oleh PSS dan mendapat sokongan Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) serta Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Sementara itu, Nizam yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan (PSTBS) menyeru peminat sepak takraw untuk membanjiri Stadium Tertutup Bahagian Samarahan bagi menyaksikan kelibat para pemain dari seluruh Sarawak berentap sepanjang kejohanan itu berlangsung.
“Tiada bayaran dikenakan kepada sesiapa yang ingin menyaksikan setiap perlawanan,” jelasnya yang turut menyatakan perlawanan akan bermula dari pukul 8 pagi dan berlanjutan sehingga malam.


